HARI yang sepatutnya menjadi rutin biasa buat seorang jurumekap bertukar menjadi detik paling memilukan dalam hidupnya selepas menerima berita pemergian bapa tercinta ketika menyiapkan solekan pengantin.
Kejadian berlaku pada 19 Oktober lalu, ketika wanita itu khusyuk menyiapkan solekan pengantin yang bakal diraikan.
Namun, ketenangan itu terganggu sebaik beliau menerima panggilan daripada suaminya yang memaklumkan bapanya terjatuh di bilik air dan tidak sedarkan diri.
BACA LAGI: [VIDEO] Guru peluk murid baru kehilangan bapa, kongsi momen sebak ingat pengalaman sendiri
“Masa itu saya masih boleh bertenang lagi sebab suami cakap ambulans dah sampai.
"Jadi saya sambung mekap walaupun tangan dah menggigil. Saya cuba kawal sebab tak nak pengantin panik,” ceritanya menerusi hantaran di aplikasi Threads makeupbyfrhanaa pada Ahad.
Menurutnya, tidak lama selepas itu, satu lagi panggilan masuk dan dengan suara yang tersekat-sekat, suaminya menyampaikan berita paling ditakutinya.
“Suami cakap, ‘abah dah tak ada’. Masa itu saya rasa jantung macam nak luruh, dunia tiba-tiba jadi gelap,” katanya.
Tambah beliau, ketika berita itu diterima, solekan pengantin hanya tinggal beberapa langkah terakhir, belum sempat mengenakan gincu dan tudung.
Mujur katanya, pengantin yang disolek memahami situasi dan memintanya segera pulang untuk bersama keluarga.
“Saya serahkan tugas kepada kawan pengantin untuk siapkan bahagian akhir.
"Alhamdulillah saya bersyukur sebab dapat pengantin yang sangat baik dan memahami. Beliau sendiri yang suruh saya balik cepat dan tenangkan diri,” ungkapnya lagi.
Tambah jurusolek itu, kehilangan bapa benar-benar meninggalkan kesan mendalam kerana pagi sebelum kejadian, arwah sempat menghantarnya hingga ke pagar rumah sebelum keluar bekerja.
“Dalam beberapa jam, aku melihat sekujur tubuh kaku,” luahnya.
Akui beliau, genap seminggu pemergian arwah, dirinya masih bergelut menerima kenyataan.
Rumah yang dulunya riuh dengan gurauan dan usikan bapa kini terasa sunyi dan kosong.
“Setiap sudut rumah macam masih ada bayang abah. Saya reda, tapi nak benar-benar terima hakikat ini perlukan masa.
"Hal yg paling saya takut terjadi lagi setelah sembilan tahun pemergian arwah mak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa syukur kerana segala urusan jenazah berjalan lancar, termasuk proses mandi, kafan dan perjalanan membawa pulang jenazah dari Mersing, Johor ke Kota Gelanggi 2, Pahang.
“Ramai yang datang ziarah walaupun dah lewat malam. Semua terkejut dan sedih sebab abah dikenali sebagai orang yang baik, tak kedekut dan suka membantu. Terima kasih abah atas segalanya,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
