ACARA pembukaan MotoGP Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang, Selangor pada Ahad lalu diserikan dengan persembahan lagu Negaraku oleh anak saudara kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, iaitu Ahmad Dayyan.
Ahmad tampil penuh berkarisma di tengah litar, mengenakan busana tradisional Melayu berwarna biru lengkap dengan sampin songket dan songkok, hasil rekaan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat.
Penampilannya yang kemas dan sopan turut menerima pujian ramai kerana menyerlahkan semangat patriotik serta identiti budaya Malaysia di pentas antarabangsa.
BACA LAGI: Hatta Dolmat cabar diri cari kelainan, reka gaun pengantin 'couture' kek fondant
Anak kepada Siti Saerah Tarudin, 42 itu turut menzahirkan rasa syukur dan teruja atas kepercayaan menyanyikan lagu kebangsaan di acara berprestij dunia.
“Saya baru sahaja selesai menyanyikan lagu kebangsaan kita, Negaraku, di MotoGP Malaysia.
"Masih terasa debaran dan bangga dapat mengharumkan nama Malaysia,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram miliknya pada Ahad.
Sementara itu, Hatta berkata, pemilihan warna biru diraja bukan sahaja menyerlah di bawah terik mentari, tetapi juga melambangkan salah satu warna pada Jalur Gemilang.
“Saya dah buat kajian penyanyi sebelum ini ada yang pakai baju warna putih.
"Biru adalah antara warna pada Jalur Gemilang dan sesuai digunakan pada waktu siang di litar kerana ia lebih terang untuk menarik perhatian penonton,” katanya kepada Majoriti.

Ahmad berdiri hampir 15 minit di bawah terik matahari sebelum mula menyanyi.
Selain warna, pereka berusia 43 tahun itu turut memberi perhatian khusus terhadap rekaan potongan baju Melayu Johor klasik, yang jarang digayakan generasi muda masa kini.
Ujarnya, pihak pengurusan Ahmad juga menginginkan beliau memakai baju Melayu tradisional, bukan potongan moden.
“Jadi saya buat potongan Teluk Belanga klasik, poket tiga lengkap dengan jahitan tulang belut.
"Kita ada baju Melayu cekak musang, tapi Teluk Belanga yang tidak berkolar lebih bersesuaian di tempat panas seperti di Litar Sepang.
"Disebabkan ia tidak berkolar, kita perlu tambah elemen yang betul-betul istimewa sebagai pendedahan untuk Ahmad tentang nilai busana warisan,” jelasnya.
Bagi memastikan keselesaan di bawah cuaca panas Sepang, Hatta menggunakan fabrik jenis silk dengan lapisan khas (interfacing) yang membantu baju kelihatan kemas walaupun Ahmad berpeluh ketika menunggu giliran menyanyi.
"Lapisan khas ini membuatkan peluh tak kelihatan pada badan Ahmad dan ia tetap nampak terletak rapi di badan.
"Sedangkan Ahmad dah berdiri hampir 15 minit di bawah terik matahari sebelum menyanyi,” katanya.

Hatta (kiri) turut membantu Ahmad membuat persiapan bagi penyertaannya dalam sebuah rancangan realiti. — Hatta Dolmat
Busana itu kongsinya, turut dipadankan dengan songket istimewa bercorak flora dan fauna yang mempunyai campuran warna biru, merah, keemasan serta perak sebagai simbolik perpaduan rakyat Malaysia.
“Songket tersebut dipilih sebab coraknya melambangkan penyatuan rakyat Malaysia.
"Saya sangat bangga kerana Ahmad sebagai remaja, dapat membawa imej tradisional ini ke pentas dunia.
"Mungkin dia masih belum faham betapa besarnya makna menyanyikan Negaraku di acara antarabangsa seperti MotoGP, tapi bagi saya ini satu kebanggaan buat Malaysia,” ujar Hatta lagi.
Untuk rekod, sebelum kemunculan Ahmad, penyanyi dan pelakon, Naim Daniel juga pernah diberi penghormatan sama.
Beliau menyampaikan lagu Negaraku dengan penuh semangat pada MotoGP Malaysia 2023.
Dikenali dengan vokalnya yang mantap, Naim tampil dengan gaya kemas dan patriotik, menjadikan persembahannya antara yang paling diingati peminat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
