'Penatnya interviu fresh grad', Dr. Malar seloroh graduan perlu masuk kelas sebelum hadiri temu duga


  • Maya
  • Isnin, 27 Okt 2025

Kebanyakan graduan baharu disifatkan masih kurang bersedia dalam menghadapi temu duga pekerjaan. — Gambar hiasan

DOKTOR dan pempengaruh media sosial, Dr. Malar Santhi Santherasegapan meluahkan pengalamannya menemu duga graduan baharu yang disifatkan masih kurang bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads miliknya, Dr. Malar secara berseloroh menyuarakan hasrat untuk menganjurkan 'Bengkel Menghadiri Temu Duga' secara percuma buat golongan muda yang baru menamatkan pengajian.

Menurutnya, antara kesilapan biasa calon muda ialah memberi alasan tidak mempunyai pengalaman kerja.

BACA LAGI: Graduan perguruan tolak penempatan pertama boleh dikenakan tindakan disiplin — Fadhlina

BACA LAGI: Bermodalkan kod QR, penganggur ini akhirnya dapat kerja

Dr. Malar turut menegur sikap sesetengah calon yang mudah mengaku tidak tahu apabila ditanya kebolehan tertentu. — Facebook/Celoteh Dr Malar

"Penatnya interviu 'fresh grad', jangan cakap tiada pengalaman.

"Ceritalah pengalaman Latihan industri, kerja kumpulan, dalam persatuan, sambutan hari itu ini,” katanya pada Ahad.

Dr. Malar menasihatkan calon agar membuat persediaan lebih awal sebelum menghadiri temu duga dan memahami skop jawatan yang dipohon.

Beliau turut menegur sikap sesetengah calon yang mudah mengaku tidak tahu apabila ditanya kebolehan tertentu.

“Apabila dicabar dengan (soalan) 'boleh tak buat ini, boleh tak buat itu', janganlah jawab tak reti.

"Jawablah 'saya sanggup belajar asalkan diajar',” ujarnya.

Dr. Malar berpandangan, ramai calon berani meminta gaji tinggi tetapi masih belum cukup yakin menjawab soalan asas temu duga.

“Minta gaji RM3,500 reti pula,” selorohnya lagi.

Hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial, yang rata-ratanya bersetuju dengan pandangan Dr. Malar dan menganggap pesanan tersebut sebagai peringatan berguna buat graduan muda sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram