Hatta Dolmat cabar diri cari kelainan, reka gaun pengantin 'couture' kek fondant


  • Relaks
  • Sabtu, 26 Apr 2025

Hatta selepas melancarkan 'couture' kek kolaborasi bersama Gula Cakery yang menampilkan keseluruhan lapan rekaan.

PEREKA fesyen tersohor tanah air, Hatta Dolmat mencipta sejarah baharu dalam dunia fesyen selepas menampilkan rekaan busana pengantin yang bukan sahaja mewah, tetapi juga boleh dimakan.

Bersama jenama pencuci mulut terkenal, Gula Cakery, Hatta merealisasikan impian beraninya menerusi 'Wear the Couture Dress Cake,'

Pertama seumpamanya di Malaysia, busana pengantin pertama itu bukan sahaja diperbuat daripada kek, malah turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

BACA LAGI: [VIDEO] Hargai isteri, suami pakat dengan anak-anak sambut 'anniversary' buat pertama kali lepas 22 tahun kahwin

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara tak 'check' betul-betul, wanita tersilap pergi rumah terbuka raya, rupanya salah tempat

Koleksi itu mendapat pengiktirafan MBOR sebagai gaun pengantin couture pertama di Malaysia yang diperbuat sepenuhnya daripada kek.

Menurut pereka berusia 43 tahun itu, kolaborasi tersebut merupakan hasil pencarian terhadap dirinya sendiri sebagai seorang pereka.

"Saya dah lama tak hasilkan koleksi perkahwinan. Kalau saya nak buat, mesti kena ada sesuatu yang luar biasa. Jadi, saya nak cabar diri. Saya dah bosan bermain dengan fabrik," katanya kepada Majoriti selepas melancarkan koleksi berkenaan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Bagi Hatta, mencipta rekaan menggunakan bahan makanan merupakan satu pengalaman yang benar-benar di luar zon selesa.

“Cabaran utama adalah macam mana nak realisasikan daripada lakaran ke bentuk sebenar. Kalau kain, kita boleh jahit dan bentuk dengan mudah. Tapi apabila bahan utama adalah makanan yang semuanya boleh dimakan, ia satu proses yang sangat mencabar,” jelasnya.

Busana daripada fondant memerlukan struktur khas seperti troli dan roda tersembunyi. 

Tambah beliau, kerjasama erat bersama pasukan Gula Cakery dan cef-cef yang terlibat menjadi kunci utama kejayaan ini.

“Saya hanya pereka. Tapi untuk baju kek ini menjadi realiti, saya perlukan pasukan yang faham dan sanggup cabar diri mereka sama seperti saya," ujar beliau.

Sementara itu, pengasas Gula Cakery, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal berkata, cabaran terbesar adalah dari segi teknikal dan ketahanan kek itu sendiri.

“Nampak mudah, tapi setiap busana memerlukan struktur khas seperti troli dan roda tersembunyi. Model pula perlu masuk ke dalam kek seperti masuk ke dalam kereta.

Sebanyak lapan rekaan busana pengantin digayakan menerusi kempen 'Wear the Couture Dress Cake'.

"Kek itu bukan hanya untuk dipamer, tapi perlu stabil, boleh bergerak dan masih kelihatan anggun,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, fondant yang digunakan mencecah ratusan kilogram, dengan setiap perincian seperti bunga-bungaan dan lapisan kek berperisa red velvet, coklat dan vanilla dibuat secara teliti.

“Kami tak tidur malam untuk siapkan semuanya. Model pun lapan orang, jadi setiap busana kek perlu ikut ukuran badan masing-masing dan betul-betul boleh dipakai,” jelasnya.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram