Impian remaja jadi nyata, Sarimah Ibrahim bakal kendali Sidang Kemuncak ASEAN ke-47


  • Sukses
  • Ahad, 26 Okt 2025

Sarimah merupakan figura yang sudah lama bergerak dalam industri pengacaraan, dengan menyertai kerjaya pengacaraan televisyen dan radio. — Instagram/amir_yasin

PERSONALITI televisyen, Che Puan Sarimah Ibrahim dilantik sebagai pengacara bagi mengendalikan pentas pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh pengacara berusia 47 tahun itu menerusi hantaran di platform Threads miliknya pada Ahad.

Sarimah berkata, beliau pernah mengimpikan untuk berdiri sama pentas bersama para pemimpin dunia.

BACA LAGI: [VIDEO] Ada tali pinggang hitam karate, Sarimah pilih menua secara sihat, tak boleh duduk diam

BACA LAGI: [VIDEO] Anak perempuan 'star-struck', Sarimah sekeluarga bertemu David Beckham, sifatkan ramah, rendah diri

“Saya menjadi pengacara sejak 1997 dan masih ingat ketika remaja dulu, saya pernah bermimpi untuk berdiri di atas pentas yang dipenuhi pemimpin dunia, seniman dan tokoh berwawasan dari seluruh ASEAN.

"Kini, impian itu menjadi kenyataan. Full circle," katanya yang bakal bergandingan bersama pengacara Terrence Dass.

    Sarimah (kiri) bakal bergandingan bersama Terrence bagi mengendalikan pentas pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Ibu kepada Tunku Sofia Najihah, 6, itu turut meluahkan rasa bangga kerana dapat mewakili Malaysia, sekali gus meraikan tema Sidang Kemuncak ASEAN 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

"Kemajuan sebenar bermakna kita berkembang bersama dan tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang," ungkap beliau.

Selain tugas sebagai pengacara sidang kemuncak tersebut, beliau juga akan menjadi hos bagi acara Festival Filem Malaysia (FFM) pada 1 November depan.

Justeru beliau berharap tidak akan berlaku kekeliruan antara dua acara besar berkenaan.

"Saya hanya berharap semasa mengacarakan #aseansummit nanti, saya tidak tersilap menyamakan mana-mana agenda dengan anugerah FFM," seloroh pemenang anugerah Rancangan Bual Bicara Terbaik di Anugerah Skrin untuk dua tahun berturut-turut pada 2012 dan 2013.

Sejak memulakan kerjaya, pengacara, pelakon dan penyanyi berdarah kacukan Ireland-Melayu itu telah mengendalikan pelbagai program popular di televisyen dan radio.

Ia termasuk The Breakfast Show, Nona, Destinasi TV dan rancangan realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) yang melonjakkan lagi popularitinya sebagai pengacara berkarisma.

Selain televisyen, Sarimah turut aktif sebagai penyampai radio dan pernah ke udara di beberapa stesen utama seperti Mix FM.

Dengan pengalaman selama lebih dua dekad, pelantikan beliau sebagai hos untuk acara berprofil tinggi itu menonjolkan kredibiliti dan keupayaan beliau di pentas antarabangsa.

Untuk rekod, Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula Ahad dijangka menjadi antara pertemuan terbesar dalam sejarah badan serantau berkenaan.

Antara objektif utama adalah memperkukuh kerjasama rantau, mempromosikan pembangunan lestari dan memastikan tiada negara atau komuniti ditinggalkan di belakang.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk dari Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada akan menyertai perbincangan mengenai keamanan, daya tahan ekonomi dan pertumbuhan inklusif serantau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram