Empat tahun selepas sembuh, Christiane Amanpour sekali lagi diuji kanser ovari, pesan jangan abaikan isyarat tubuh


  • Sihat
  • Ahad, 26 Okt 2025

Amanpour menceritakan tanda awal penyakitnya bermula dengan rasa sakit di bahagian sisi badan yang tidak pernah dialami sebelum ini. — Agensi

HOS antarabangsa CNN, Christiane Amanpour, mendedahkan dirinya sekali lagi berdepan kanser ovari, empat tahun selepas mengumumkan diagnosis pertamanya pada 2021.

Wartawan berusia 67 tahun itu berkongsi berita tersebut menerusi audio siar Changing the Ovarian Cancer Story baru-baru ini, sambil menekankan pentingnya kesedaran awam terhadap penyakit tersebut.

“Saya menghidapnya (kanser) lagi tetapi ia dikawal dengan sangat baik,” kata Amanpour yang turut menegaskan, sesetengah kanser boleh berulang namun tetap mampu dirawat dengan berkesan.

BACA LAGI: Kanser payudara wanita berkerjaya-suri rumah berisiko merebak lebih cepat tanpa sokongan suami

BACA LAGI: [VIDEO] Risiko wanita dan lelaki di Malaysia menghidap kanser seimbang, beza banding 10 tahun lalu

 

 

Menurutnya, pendedahan terdahulu dibuat selepas beliau tidak muncul ke udara selama empat minggu, menyebabkan penonton mula tertanya-tanya tentang keadaannya.

“Saya memutuskan untuk berkongsi kerana saya mahu memberi manfaat, bukan hanya kepada penonton, tetapi juga buat mereka yang mungkin berada dalam situasi sama.

"Saya mahu orang lain sedar betapa pentingnya 'mendengar' tubuh sendiri,” ujarnya.

Amanpour menceritakan tanda awal penyakitnya bermula dengan rasa sakit di bahagian sisi badan yang tidak pernah dialami sebelum ini.

Tambah beliau, sakit tersebut menjadi lebih ketara setiap kali ke tandas.

"Selepas beberapa kali berjumpa doktor, imbasan ultrabunyi akhirnya mengesahkan saya menghidap kanser ovari," maklumnya.

Dalam rancangan audio siar yang sama, pakar onkologi ginekologi daripada Hospital Royal Marsden, London, Dr. Angela George menjelaskan, ramai wanita didiagnosis lewat kerana simptom awal kanser ovari sering disalah tafsir sebagai masalah pencernaan atau jangkitan biasa.

Kebanyakan wanita katanya, berulang-alik ke klinik selama setahun atau lebih sebelum diagnosis sebenar dibuat.

"Ramai mungkin telah menghidap kanser tersebut selama tiga atau empat tahun sebelum ia akhirnya dikesan,” jelas beliau.

Pengakuan Amanpour itu mencetuskan gelombang sokongan dan doa daripada orang ramai di media sosial.

Seorang pengguna X (Twitter) berkata, Amanpour benar-benar menjadi inspirasi kepada semua.

“Christiane, saya juga menyokongmu. Terima kasih kerana berkongsi kisahmu,” tulisnya.

Sementara seorang lagi turut menghargai inisiatif Amanpour dalam berkongsi perjalanan sakitnya.

“Terima kasih kerana berkongsi perjalananmu. Ia peringatan penting agar kita memperjuangkan kesihatan sendiri dan peka terhadap tubuh, terutama ketika berdepan cabaran seperti kanser ovari,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram