Berlatih tak sampai sebulan, murid Tahun 6 johan Pidato IPGKPI peringkat kebangsaan


  • Bonda
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Hanif (tengah) bergambar bersama Pengarah IPGKPI, Dr. Khairuddin Said (kiri) dan Rashid selepas dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Pidato Piala Pengarah IPGKPI Peringkat Kebangsaan 2025. — Irina Mat Shafie

BIARPUN tidak sampai sebulan menjalani latihan, Hanif Hasif, 12, membuktikan keyakinan dan kesungguhan mampu mengatasi segalanya selepas dinobatkan Johan Pertandingan Pidato Piala Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPGKPI) Peringkat Kebangsaan 2025.

Lebih manis, kemenangan itu merupakan pencapaian sulung murid Tahun Enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa, Kuala Lumpur tersebut dalam penyertaan pertamanya di pentas pidato rasmi.

Berkongsi kepada Majoriti, ibu remaja berkenaan, Irina Mat Shafie, 44, berkata, segalanya bermula sekitar awal Oktober apabila sekolah menerima jemputan untuk menghantar wakil ke pertandingan berkenaan.

BACA LAGI: Remaja Sabah raih tempat ke-3 pertandingan pidato di UK, tewaskan ribuan peserta dari 138 negara, subjek Sejarah sumber inspirasi

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hebat-hebat belaka', kepetahan johan pidato PASTI Terengganu petanda aset masa depan negara

Hanif (kiri) ketika menjalani latihan bersama guru sekolahnya yang juga jurulatih pidato, Rashid. — Irina Mat Shafie

“Pada awalnya saringan dibuat secara dalam talian. Peserta perlu menghantar video pidato berdurasi lima minit.

"Daripada kira-kira 200 penyertaan seluruh negara, hanya 20 dipilih ke peringkat akhir,” katanya pengumuman untuk peringkat akhir dibuat pada 15 Oktober 2025.

Menurut Irina, peringkat akhir yang berlangsung pada Khamis lalu menyaksikan peserta mempersembahkan semula pidato asal secara fizikal sebelum diuji dalam segmen bicara spontan.

"Setiap peserta mencabut undi tajuk dan diberikan satu minit untuk berfikir sebelum berpidato di hadapan juri," ujarnya.

Beliau menambah, pertandingan itu merupakan penyertaan pertama anak bongsu daripada tiga beradik tersebut dalam dunia pidato walaupun minat terhadap pengucapan awam sudah lama dipupuk melalui pemerhatian dan persekitaran keluarga.

Hanif juga aktif dalam sukan ragbi mewakili sekolahnya. — Irina Mat Shafie

Keluarga pidato

Bercerita lanjut, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) di Cafe Mesra Sdn. Bhd. itu berkata, bakat anaknya mula disedari dan diasah oleh cikgu-cikgu di SK Setiawangsa, terutamanya guru bernama Rashid Othman yang melihatnya sebagai murid yang petah dan berani berbicara.

"Kakak sulung Hanif, Ilham Imani Hasif yang kini pelajar tingkatan lima di Kolej Tunku Kurshiah sememangnya aktif dalam pidato dan debat.

"Suami saya juga pernah menjadi pendebat dan mengajar pengucapan awam, jadi anak-anak banyak belajar daripada ayah mereka.

"Cuma untuk Hanif, ini kali pertama diberi peluang (bertanding pidato) sebab sebelum ini dia lebih aktif dalam sukan ragbi dan pengakap,” jelasnya menambah Hanif juga pernah menerima Anugerah Rambu Biru, iaitu anugerah tertinggi bagi pengakap kanak-kanak.

Beliau mengakui, persediaan kali ini agak mencabar kerana jadual Hanif yang padat dengan peperiksaan akhir tahun dan latihan ragbi.

Hanif (tengah) mewarisi bakat dalam pengucapan awam daripada bapanya (belakang, kiri). — Irina Mat Shafie

Namun jelasnya, dengan bantuan Rashid serta Jurulatih Bahas dan Pengucapan Awam, Shaiful Kamaluddin, latihan tetap dijalankan setiap hari.

“Teks pidato disediakan oleh guru sekolah, Cikgu Rashid kemudian kami tambah latihan dengan jurulatih luar, Shaiful.

"Mereka latih Hanif secara dalam talian dan juga bersemuka. Kadang-kadang sampai malam pun masih berlatih,” ujarnya.

Malah kongsi Irina, ketika cuti Deepavali baru-baru ini juga, beliau sekeluarga termasuk jurulatih Rashid sanggup 'membatalkan' cuti demi memastikan latihan tidak terganggu.

“Kami semua betul-betul beri komitmen. Jurulatih pun datang sekolah dan rumah waktu cuti untuk sesi latihan terakhir tiga hari sebelum pertandingan,” ungkapnya lagi.

Berkongsi detik malam sebelum pertandingan, Irina berkata, anaknya kelihatan sedikit gementar kerana pertama kali berdiri di atas pentas besar.

“Dia jenis budak yang ceria, tapi malam itu nampak dia susah nak tidur. Ayahnya pesan supaya solat dan doa supaya dipermudahkan urusan,” ceritanya.

Hanif (kiri) juga pernah menerima Anugerah Rambu Biru, anugerah tertinggi bagi pengakap kanak-kanak. — Irina Mat Shafie

Tambah beliau, selepas diumumkan johan, Hanif mula menunjukkan minat mendalam terhadap dunia pidato.

Katanya, perkembangan itu sekali gus membuatkan mereka merancang untuk terus mengasah minatnya apabila melangkah ke sekolah menengah kelak.

"Kalau boleh, kami nak dia ikut jejak langkah kakaknya ke arah pidato, debat dan pengucapan awam,” bicaranya menambah, Hanif kini meneruskan latihan untuk kejohanan ragbi kebangsaan di Pulau Pinang pada Disember depan bersama Setiawangsa Knights Rugby Club.

Selain pidato, Hanif juga pernah meraih beberapa pencapaian lain termasuk pingat emas bagi Global English Language Olympiad of South East Asia (GELOSEA) di Incheon, Korea Selatan, English Space Carnival International Level 2025 (Naib Johan) dan International Mathematics Olympiad Competition of South East Asia (pingat emas).

Untuk rekod, video Hanif berpidato dalam Pertandingan Pidato Piala Pengarah IPGKPI Peringkat Kebangsaan 2025 turut dikongsikan menerusi hantaran Facebook Shaiful Kamaluddin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram