Dulu masuk hutan pun tak pernah, kini hampir 10 tahun veterinar asal Sandakan 'gadai' tenaga rawat haiwan liar


  • Sukses
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Bagi Dr. Nur Nabila (kanan), melihat haiwan yang dirawat kembali sihat merupakan pencapaian terbesar dalam hidupnya.

KETIKA menyuarakan hasrat untuk menerokai profesion sebagai veterinar hidupan liar, idea itu diragui banyak pihak terutama ibu bapanya.

Mengenali anak mereka, Nur Nabila Sarkawi bukanlah seorang yang berjiwa kembara, jauh sekali memiliki pengalaman masuk hutan.

Sedari kecil, dunia anak keempat daripada enam beradik itu hanya berkisar sains dan makmal menjadi taman permainannya.

BACA LAGI: 'Bukan sekadar penghormatan biasa, tapi satu amanah ALLAH SWT', Angeline Tan tak jemu kongsi ilmu bersama rakan bukan Islam

BACA LAGI: 'Bukan sekadar penghormatan biasa, tapi satu amanah ALLAH SWT', Angeline Tan tak jemu kongsi ilmu bersama rakan bukan Islam

Pun begitu, entah bagaimana, minat terhadap hidupan liar timbul sewaktu menyambung pengajian tahun kedua di Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Meski tidak membesar dengan minat mendalam terhadap haiwan, pengalaman menelaah artikel tentang primat (anggota kumpulan mamalia) khususnya orang utan mengubah haluan hidupnya.

“Saya ingat lagi masa itu terbaca sesuatu tentang orang utan atau monyet. 

"Dari situ rasa tertarik dan ingin tahu serta buat kajian lebih lanjut mengenai spesies berkenaan," katanya membuka bicara kepada Majoriti.

Dr. Nur Nabila ketika merawat orang utan semasa bertugas di Jabatan Hidupan Liar Sabah.

Minat itu kemudian mendorong beliau menyertai Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU) usai bergraduasi.

Secara ringkas, WRU ialah satu unit khas di bawah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah ditubuhkan untuk menangani isu-isu berkaitan penyelamatan dan pengurusan haiwan liar bermasalah, terancam atau cedera, terutamanya di kawasan yang berlaku konflik antara manusia dan hidupan liar.

Selama empat bulan menabur bakti, wanita berusia 33 tahun itu ditawarkan sebagai pegawai veterinar di JHL bermula 2017.

"Sebenarnya sehingga ke hari melapor diri pun, ibu bapa masih ragu-ragu dengan keputusan tersebut dan meminta saya fikirkan semula.

"Bukan larang, tapi mereka suruh fikir balik sebab saya bukan jenis yang biasa masuk hutan, berkhemah pun tak pernah. 

"Tiba-tiba pilih kerja di dalam hutan. Mereka minta saya pertimbangkan sebab rasa bidang ini terlalu mencabar dan berisiko,” ujarnya memberitahu lama-kelamaan keluarganya akur dengan keputusan beliau untuk meneruskan karier sebagai veterinar hidupan liar.

Haiwan liar

Kini hampir sembilan tahun berkhidmat, Dr. Nur Nabilah bertanggungjawab terhadap pelbagai operasi melibatkan rawatan, pemulihan dan translokasi haiwan liar di Sabah, termasuk spesies ikonik negeri itu yakni orang utan dan gajah Borneo.

Akui wanita berasal dari Sandakan itu, pegawai veterinar hidupan liar bukan sahaja menuntut ilmu dan kemahiran, malah perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan fizikal serta mental yang tinggi. 

Menurut beliau, antara cabaran paling ketara adalah dari segi kekurangan tenaga pakar di Sabah.

Akui Dr. Nur Nabilah, gajah antara haiwan paling sukar dikendalikan dek faktor saiz dan kekuatan.

“Di JHL Sabah, hanya ada dua pegawai veterinar, saya uruskan Pantai Timur, manakala Dr. Rosa di Pantai Barat. Bagi kawasan sebesar Sabah, ini sangat mencabar,” akuinya.

Tambahan pula, berhadapan dengan haiwan liar yang tidak dapat dijangka tingkah lakunya memerlukan pengalaman, keberanian dan kepekaan terhadap bahasa tubuh haiwan.

"Haiwan liar tidak seperti haiwan peliharaan. Mereka tidak faham arahan manusia, jadi setiap hari kita berdepan risiko," ujarnya.

Dipijak gajah

Menurutnya, daripada pelbagai spesies pernah dirawat, gajah antara haiwan paling sukar dikendalikan dek faktor saiz dan kekuatan.

Antara detik tidak dapat dilupakan adalah apabila beliau hampir cedera akibat kakinya dipijak oleh seekor anak gajah ketika sesi pengambilan darah, sewaktu awal bertugas.

Bercerita lanjut, ibu dua anak itu berkata, disebabkan baru bertugas di kawasan tersebut gajah berkenaan tidak biasa dengan kehadirannya yang kelihatan sedikit gelisah.

“Masa nak ambil darah, ia terpijak kaki saya, tapi bukan dengan kekuatan penuh. Nasib baik gajah kecil dengan ketinggian sekitar empat kaki.

“Kalau haiwan kecil macam kucing, ada cabaran tersendiri sebab suka mencakar, tetapi bagi haiwan besar, gajah paling susah.

"Apa-apa prosedur pun kita perlu bius dahulu sebelum mengendalikannya,” tutur wanita berketinggian 155 sentimeter itu lagi.

Dr. Nur Nabilah bertanggungjawab terhadap pelbagai operasi melibatkan rawatan, pemulihan dan translokasi haiwan liar di Sabah termasuk gajah Borneo.

Beliau menjelaskan, cara mengendalikan gajah bergantung pada keadaan sama ada haiwan itu berada dalam hutan atau di pusat kurungan.

Kongsinya, bagi gajah liar, proses pembiusan perlu dimulakan dengan menjejak haiwan tersebut terlebih dahulu sebelum menembak pelali untuk menenangkan haiwan tersebut supaya proses rawatan atau pemindahan dapat dilakukan dengan lebih selamat.

“Bagi gajah yang dipelihara atau berada dalam kandang, prosesnya lebih kepada melatih mereka supaya mendengar arahan penjaga.

"Dengan cara itu, prosedur seperti mengambil darah atau memeriksa kaki tidak memerlukan bius setiap masa kerana ia boleh mendatangkan risiko,” jelasnya.

Menariknya ujar beliau, sepanjang karier, kecederaan paling teruk bukan datang daripada haiwan liar bersaiz besar, sebaliknya seekor hamster.

Dr. Nur Nabila berkata, kira-kira tujuh tahun lalu, dirinya pernah digigit hingga tangan berdarah dan bengkak.

"Itulah pengalaman paling sakit walaupun haiwan kecil,” katanya tertawa.

Bukan anugerah atau pengiktirafan rasmi, bagi Dr. Nur Nabila, melihat haiwan yang dirawat kembali sihat merupakan pencapaian terbesar dalam hidupnya.

“Saya sebenarnya fikir mampu bertahan lima tahun sahaja, tapi tanpa sedar sudah hampir sembilan tahun saya di sini.

"Dapat terlibat dalam pelbagai operasi bersama pakar lain, menimba ilmu baharu, bagi saya itu semua satu pencapaian besar,” ujarnya.

Beliau berharap lebih ramai generasi muda di Malaysia menceburi bidang veterinar demi memenuhi keperluan negara.

“Kita sangat perlukan doktor veterinar bukan sahaja untuk merawat haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing, tetapi juga dalam sektor industri makanan serta tenaga,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram