BAGI mengelak kebosanan di rumah, seorang warga emas di China memutuskan untuk bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran tempatan.
Walaupun berasal daripada keluarga berada, wanita berusia lingkungan 60-an itu memilih untuk bekerja kerana ingin kekal aktif dan bergaul dengan orang ramai.
Kejadian itu difahamkan berlaku pada 2023 namun ditularkan semula di media sosial baru-baru ini.
BACA LAGI: Sesiapa cuci pinggan sebaik selesai makan biasanya miliki 7 ciri personaliti ini
Rakaman tular itu menunjukkan wanita berkenaan tiba di restoran menaiki kenderaan mewah jenis Bentley bernilai kira-kira RM3 juta.
Warga emas berkenaan juga dilihat keluar dari kereta mewah berwarna hitam dengan baju bercorak belang merah jambu, apron dan but getah.
Beliau kemudian berjalan masuk ke dapur restoran untuk memulakan tugas harian sebagai pencuci pinggan.
Menurut laporan China Times, wanita itu dihantar setiap pagi oleh anak perempuannya menaiki Bentley berkenaan.
Walaupun tidak mempunyai masalah kewangan, beliau memilih untuk melakukan kerja-kerja pembersihan kerana enggan duduk diam di rumah.
“Saya sangat bosan di rumah dan badan rasa tak selesa kalau sehari tak cuci pinggan,” katanya.
Tindakan wanita berkenaan mendapat pujian ramai pengguna media sosial yang kagum dengan sikap rendah diri beliau, selain gemar berdikari walaupun hidup serba kemewahan.
“Bagus untuk beliau. Hubungan sesama manusia penting untuk umur panjang,” tulis seorang pengguna di platform media sosial Weibo.
Ramai berpendapat, tindakannya menjadi inspirasi bahawa kekayaan bukan jaminan kebahagiaan, sebaliknya hubungan sosial, rasa berguna dan kesibukan positif memberi makna sebenar dalam kehidupan.
“Kalau dah capai semua yang diinginkan, apa lagi boleh dibuat selain jalani kehidupan biasa? Mungkin dia anggap rakan sekerjanya sebagai keluarga,” tulis pengguna lain. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
