
DI sebalik gelaran juara yang disandang pada musim pertama MasterChef Malaysia, Ezani Farhana Monoto, 39, bukan datang dari dunia masakan secara formal.
Beliau adalah seorang doktor pergigian bertauliah, yang ketika itu baru sahaja tamat pengajian dan pulang dari Australia.
Namun, di balik latar belakang perubatan itu, wujud satu benih minat yang disemai sedari kecil.
BACA LAGI: Siti Saleha dilantik Profesor Adjung Universiti Taylor, 3 lagi selebriti wanita bergelar pendidik
Bersama arwah ibu tercinta yang aktif dalam kelas dan bisnes masakan secara kecil-kecilan, dapur menjadi taman permainan awal buat anak bongsu daripada dua beradik itu.
Dari sekecil aktiviti seperti menggoreng keropok, hingga ke mencuba resipi kompleks melalui buku masakan milik ibu.
"Arwah mak cikgu tapi suka masak dan beliau ada banyak buku resipi.
"Itulah bahan bacaan saya sewaktu kecil. Kita bukanlah baca sangat, lebih kepada suka tengok gambar," kongsinya kepada Majoriti.
Dr. Ezani mula menjual kek dan pastri di karnival makanan. — Instagram/ezanimonoto
Semua itu membentuk satu kenangan dan pengalaman begitu mendalam buat graduan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian daripada Universiti Adelaide itu.
Minat tersebut terus subur, malah dibuktikan dengan kesungguhan beliau menyimpan koleksi gambar masakan di Facebook.
Mengimbau detik 13 tahun lalu, Dr. Ezani berkata, kemasukan ke program MasterChef Malaysia bukanlah perancangan yang panjang.
Sebaliknya ujar beliau, ia hanya peluang yang kebetulan terbuka di depan mata, ketika dirinya masih ‘kosong’ daripada komitmen besar usai pengajian.
Dorongan rakan-rakan dan keberanian mencuba, itu yang membawanya ke pentas pertandingan masakan paling berprestij negara pada ketika itu.
"Masa belajar saya memang dah suka tengok Masterchef Australia.
"Kalau mereka buat pastri, macaroon atau apa-apa, saya cuba juga sebab minat.
"Kawan-kawan semua tahu saya suka masak sebab kalau balik cuti (semester), saya akan masak untuk mereka dan muat naik di Facebook," katanya.
Selepas memenangi MasterChef Malaysia, Dr. Ezani tidak terus meninggalkan profesion asalnya.
Beliau memulakan kerjaya doktor gigi pada 2013, selepas meminta penangguhan selama setahun dek mahu memberi fokus dalam program tersebut.
Biarpun kembali bertugas sebagai doktor gigi, popularitinya dalam dunia masakan membuka pelbagai peluang baharu.
Antaranya dilantik sebagai duta jenama dan terlibat dalam penggambaran rancangan televisyen sekali gus melonjakkan figura itu dalam dunia kulinari.
Dr. Ezani membuka Pastribella pada 2019 bersama rakan baiknya sejak di bangku sekolah. — Instagram/ezanimonoto
Kafe sulung
Dalam masa yang sama, Dr. Ezani mula menceburi perniagaan kecil-kecilan seperti menjual kek dan pastri di karnival makanan serta festival komuniti.
Bersama rakan baiknya sejak zaman sekolah, mereka berkongsi impian membuka kedai makan sendiri.
Sehingga tahun 2019 menyaksikan pembukaan cawangan pertama Pastribella di Tamarind Square, Cyberjaya, diikuti Wangsa Melawati, Kuala Lumpur.
Tawaran sewa yang mesra usahawan baharu membolehkan kedua-duanya memberi fokus pada pembangunan kedai dan menu.
“Memang mula-mula dulu, kami kena belajar semua benda dari A sampai Z.
"Awalnya ingatkan bisnes ni mudah, kita buat produk dan orang datang beli, tapi lama-lama baru sedar, banyak perkara lain yang kena urus macam pengurusan operasi, kewangan serta staf.
"Jadi kami mula dari bawah, belajar perlahan-lahan, langkah demi langkah. Enam bulan pertama saya memang kerja sepenuh masa di kedai, urus semua sendiri,” jelasnya.
Dr. Ezani menjelaskan, modal awal untuk memulakan bisnes kira‑kira RM150,000 pada tahun pertama merangkumi sewa ruang, renovasi, peralatan dapur dan persediaan lain bagi memulakan operasi.
Lebih menarik, ujar ibu kepada dua cahaya mata itu, pulangan atas pelaburan (ROI) datang agak cepat, kurang dari setahun kerana mereka mengekalkan kos operasi yang rendah.
“Walaupun sebagai pemilik bisnes, kami tak ambil gaji besar pada peringkat permulaan, segalanya dilaburkan semula ke dalam bisnes,” katanya yang bertugas sebagai Pegawai Pergigian di Pusat Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dr. Ezani masih membuat rawatan gigi untuk anak-anak dan suami. — Instagram/ezanimonoto
Resipi arwah ibu
Ketika ditanya sama ada beliau masih aktif dalam bidang perubatan, Dr. Ezani berkata, walaupun masih mempunyai kelayakan untuk berkhidmat, kesibukan menguruskan perniagaan tidak lagi memberinya ruang.
Sudah lebih setahun beliau tidak menjalankan sebarang kerja lokum (doktor yang bekerja secara sambilan).
"Sebenarnya boleh saja praktis dan saya pun masih buat rawatan untuk anak-anak dan suami seperti scaling tahunan.
"Sekarang saya rasa lebih baik fokus pada bisnes. Banyak yang perlu diuruskan dan saya selesa berada dalam bidang ini buat masa ini," ungkapnya yang pernah menghasilkan buku resipi berjudul Inspirasi Dapur.
Mengidolakan cef pastri dari Australia, Nadine Ingram, Dr. Ezani cenderung menghasilkan pastri berkonsepkan rustic.
Rancangan Nadine yang menonjolkan kek dan pastri dengan gaya semula jadi dan tidak terlalu glamor memberi impak besar buat wanita berasal dari Muar, Johor itu.
“Kalau tengok kek dan pencuci mulut saya, ia jenis yang rustic.
"Taklah kemas atau ‘sempurna’ sangat. Saya suka benda yang real dan jujur,” tuturnya menambah anak sulungnya mula menunjukkan minat dalam masakan.
Bercerita lanjut, Dr. Ezani turut mengolah resipi keluarga yang diwarisi daripada arwah ibunya dalam pembuatan kek di PastriBella.
Beliau berkata, salah satunya ialah kek coklat salted caramel, yang mana cara asas penyediaan kek diajar oleh arwah ibu dan diolah mengikut peredaran masa.
Jelasnya lagi, mereka sentiasa menyesuaikan resipi asal agar lebih relevan dengan cita rasa masa kini, seperti dengan menambah lapisan karamel pada kek coklat tersebut.
"Resipi itu dah dibuat bertahun-tahun dulu semasa arwah mak pergi kelas masakan,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram