MAJALAH perniagaan antarabangsa Fortune baru-baru ini mengumumkan senarai Fortune Most Powerful Women in Asia 2025, yang memberi tumpuan kepada pemimpin wanita dari 14 pasaran utama di rantau tersebut.
Daripada senarai berprestij tersebut, empat tokoh wanita Malaysia diiktiraf atas strategi inovatif dan kebijaksanaan kepimpinan mereka dalam sektor kewangan serta perkhidmatan profesional.
Mereka ialah Ng Wei Wei, Teh Mun Hui, Joanne Rodrigues dan Nurul A’in Abdul Latif yang kini berdiri sebaris dengan pemimpin wanita paling berpengaruh di Asia.
BACA LAGI: Dari doktor gigi ke 'pakar' pastri, konsep 'rustic' pilihan Dr. Ezani, tak menang tangan urus 2 kafe
BACA LAGI: MonaLesa Brackett cipta sejarah finalis berhijab pertama Miss USA, angkat impian arwah ibu
Kejayaan mereka mencerminkan pengaruh Malaysia yang semakin kukuh dalam dunia korporat serantau.
Selain itu, ia menandakan perubahan positif ke arah kepelbagaian jantina di peringkat kepimpinan tertinggi.
1) Ng Wei Wei

Wei Wei mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai CEO UOB Malaysia pada 2022. — Instagram/wwei_ng
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB Malaysia, Ng Wei Wei menduduki tangga ke-95 dalam senarai berkenaan.
Beliau mencipta sejarah pada 2022 apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai CEO UOB Malaysia.
Wei Wei kembali menyertai UOB pada 2019 selepas lebih sedekad berkhidmat di HSBC.
Menurut Fortune, UOB Malaysia mencatat peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 15.9 peratus pada 2024 dan kini memberi tumpuan pada Zon Ekonomi Johor, yang terletak strategik di sempadan Malaysia-Singapura.
2) Teh Mun Hui

Mun Hui kini memfokuskan usaha memastikan pematuhan peraturan dan pertumbuhan jangka panjang Capital A. — Agensi
Mun Hui kini merupakan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Capital A, syarikat pegangan yang menaungi pelbagai perniagaan termasuk syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia.
Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai CFO AirAsia Aviation dan menerajui bahagian kewangan di pembekal peralatan kasino tempatan, RGB International.
Kini, Mun Hui memfokuskan usaha untuk memastikan pematuhan peraturan dan pertumbuhan jangka panjang Capital A, selain menilai potensi penyenaraian sekunder syarikat di Bursa Hong Kong.
Beliau berada di tangga ke-81 dalam senarai.
3) Joanne Rodrigues

Joanne berada di posisi ke-97 dalam senarai Fortune Most Powerful Women in Asia 2025. — Agensi
Berpengalaman luas dalam bidang perbankan, Joanne telah menabur bakti di beberapa institusi kewangan utama negara termasuk CIMB dan AmBank.
Beliau yang berada di posisi ke-97 dalam senarai, berpindah daripada jawatan CFO bahagian perbankan borong AmBank untuk menyertai Affin Bank sebagai CFO pada 2020.
Di bawah kepimpinannya, Affin Bank terus memperkukuh strategi kewangan dan mencatat hasil sebanyak AS$515 juta (RM63 juta) pada tahun lalu, menandakan pemulihan kukuh berbanding tahun sebelumnya.
4) Nurul A’in Abdul Latif

Nurul A’in mengetuai kempen memperjuangkan kesamarataan gender dalam kepimpinan dan lembaga pengarah korporat. — Agensi
Pada 2023, Nurul A’in Abdul Latif mencipta sejarah selepas menjadi Pengerusi Eksekutif wanita pertama PwC Malaysia, mengetuai lebih 3,000 kakitangan di pejabat tempatan firma audit global tersebut.
Beliau dikenali sebagai penyokong tegar kepelbagaian dan keterangkuman (diversity and inclusion) serta mengetuai kempen memperjuangkan kesamarataan gender dalam kepimpinan dan lembaga pengarah korporat.
Nurul A’in meraih kedudukan ke-99 dalam senarai Fortune Most Powerful Women in Asia 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
