Keanggunan tradisi, sentuhan moden serikan persandingan diraja Selangor


  • Gaya
  • Jumaat, 24 Okt 2025

Dari kiri: Syamim Freida, Tengku Permaisuri Selangor dan Naddy Rahman mencuri tumpuan dengan busana menawan dan eksklusif. — Instagram/arunsayfulldesiree, syamimfarid, naddy_rahman

ISTIADAT Persandingan Diraja Raja Muda Selangor, Tengku Amir Ibni Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz berlangsung penuh adat dan keindahan tradisi di balairung seri, Istana Alam Shah, pada Rabu malam.

Upacara gilang-gemilang itu diserikan dengan keberangkatan tiba Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin pada pukul 7.30 malam bagi menyaksikan persandingan bersejarah itu.

Pasangan pengantin diraja yang tampil anggun dalam persalinan diraja rona krim tiba dengan penuh istiadat tepat pukul 7.45 malam, diiringi kerabat dan tetamu kenamaan yang turut memeriahkan suasana.

BACA LAGI: 11 das meriam bergema, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah kini sah bergelar suami Datin Paduka Afzaa Fadini

BACA LAGI: Titipan doa indah Raja Muda Selangor buat bakal 'permaisuri' hati, beberapa laluan akan ditutup untuk kelancaran istiadat perkahwinan

Selain keindahan adat, barisan tetamu jemputan turut mencuri tumpuan dengan busana menawan, masing-masing menggayakan rekaan eksklusif mencerminkan cita rasa tinggi dan keanggunan Melayu klasik bertatah moden.

Berikut sorotan penampilan beberapa figura yang menyerikan majlis berprestij itu:

1) Tengku Permaisuri Selangor

Tengku Permaisuri anggun dalam busana khas berona mint lembut yang melambangkan kelembutan dan ketenangan.

Baginda tampil anggun dalam busana khas rekaan Arunsayfulldesiree Couture, rona mint lembut yang melambangkan kelembutan dan ketenangan.

Lace bersulam perak dan tudung polos memperlihatkan kesopanan dan keanggunan diraja yang abadi.

Padanan aksesori sederhana namun bernilai menyerlahkan cita rasa seni tinggi dan kehalusan budi seorang permaisuri.

2) Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

Tengku Zatashah (kiri) memilih kebaya panjang berona keemasan dengan sulaman halus dan taburan manik berkilau.

Memilih kebaya panjang berona keemasan dengan sulaman halus dan taburan manik berkilau, Tengku Zatashah memancarkan aura diraja yang klasik namun moden.

Fabrik lace dan organza berona emas champagne memberi jatuhan lembut dan elegan, disempurnakan dengan selendang senada dan beg tangan kecil warna emas perang.

3) Toh Puan Syamim Mohd Farid

Syamim Freida memilih aksesori minimal, membiarkan pesona rona merah menyala itu 'berbicara' sendiri.

Menyerlah dalam kebaya merah delima, selebriti dan isteri kepada Tengku Ezrique Ezzudean Tengku Ardy Esfandiari Al-Haj itu menghidupkan semula aura klasik Melayu dengan sentuhan moden.

Potongan berkorset dan bahu berstruktur menampilkan bentuk tubuh yang elegan, manakala sulaman manik halus menambah kemewahan tanpa berlebihan.

Syamim Freida memilih aksesori minimal, membiarkan pesona rona merah menyala itu 'berbicara' sendiri.

4) Naddy Rahman

Naddy tampil memukau dalam baju kurung moden rona biru yang menyerlahkan kelembutan dan pesona klasik.

Pempengaruh yang juga isteri kepada pemandu kereta lumba Malaysia, Jazeman Jaafar tampil memukau dalam baju kurung moden rona biru yang menyerlahkan kelembutan dan pesona klasik.

Busana itu dilengkapi dengan perincian renda putih di dada dan hujung kebaya, selain diserikan selendang kelabu lembut dan tas tangan mini berkilau yang menambah pesona feminin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram