Alana Hadid ukir identiti tersendiri dalam dunia fesyen, aktivisme, tak 'berpaut' pada populariti Gigi dan Bella


  • Sukses
  • Khamis, 23 Okt 2025

Alana (kiri) selamat mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, dalam satu majlis perkahwinan intim yang diadakan di laman rumah bapanya. — Agensi

KAKAK tiri kepada supermodel terkenal, Bella dan Gigi Hadid, iaitu Alana Hadid selamat mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Ross Williams, dalam satu majlis perkahwinan yang indah dan intim di laman rumah bapa mereka, Mohamed Hadid, di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan British Vogue, majlis berkonsep santai namun elegan itu turut dihadiri ahli keluarga terdekat. 

Bella dan Gigi tampil sebagai pengapit pengantin perempuan, masing-masing mengenakan gaun hijau sage sedondon dan berjalan berkaki ayam di lorong perkahwinan.

BACA LAGI: Instagram jadi pilihan selebriti Hollywood bercakap soal konflik Palestin-Israel

BACA LAGI: Bella Hadid dedah Instagram sekat posting berkaitan Palestin

Adik mereka, Anwar Hadid pula berperanan sebagai male-of-honor, manakala kakak kandung Alana, Marielle Hadid menjadi maid-of-honor.

Bella menyerlah dalam gaun halter berleher dalam dengan potongan tidak sekata, digayakan bersama rantai dan gelang emas.

Alana (tiga dari kiri) dan Williams (tiga dari kanan) bergambar bersama adik-beradik Hadid. — Agensi

Sementara itu, Gigi tampil anggun dalam gaun hijau berleher tinggi berlengan panjang dengan perincian seperti jubah pada bahu dan aksesori emas.

Sementara itu, Alana mencuri tumpuan dalam gaun vintaj Vivienne Westwood berpotongan bahu terdedah yang diperoleh daripada butik Tab Vintage, sebelum menukar kepada gaun putih rekaan Sandra Mansour untuk majlis resepsi.

Memetik temu bual Alana bersama Vogue, beliau berkata, majlis itu amat peribadi dan bermakna kerana ia menzahirkan penyatuan dua keluarga.

“Kami menulis ikrar sendiri dan turut menyampaikan ucapan khas untuk anak perempuan Williams, yang kini menjadi anak tiri saya,” katanya.

Menariknya, mereka memilih untuk bernikah pada tarikh ulang tahun perkahwinan ibu bapa Williams, menjadikan hari bahagia itu lebih bermakna.

Alana bukan sekadar figura fesyen, beliau adalah seorang pengarah kreatif, pereka dan aktivis. 

Pada 2017, beliau menubuhkan jenama uniseks La Detresse dan pada 2023, wanita berusia 39 tahun itu melangkah ke pentas peragaan pertamanya di Minggu Fesyen Copenhagen.

Selain itu, Alana juga aktif dalam bidang aktivisme dan penerbitan, berkhidmat sebagai pengarah kreatif Watermelon Pictures, syarikat penerbitan yang menumpukan pada kisah dan naratif rakyat Palestin.

Anak kepada pemaju hartanah terkenal Mohamed Hadid dan isteri pertamanya Mary Butler itu dilahirkan di Virginia pada 27 Julai 1985.

Beliau memiliki ijazah sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa daripada Bond University, Australia, membuktikan bukan sahaja bergaya, tetapi juga berwawasan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram