Kanser payudara wanita berkerjaya-suri rumah berisiko merebak lebih cepat tanpa sokongan suami


  • Sihat
  • Khamis, 07 Ogos 2025

Suami perlu memainkan peranan memberi sokongan semasa rawatan, khususnya ketika pesakit menghadapi risiko kehilangan payudara akibat kanser. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

 

 

WANITA yang disahkan menghidap kanser payudara berisiko tinggi mengalami penyebaran sel kanser yang lebih pantas sekiranya tidak mendapat sokongan moral dan emosi daripada pasangan.

Ketua Unit Pembedahan Payudara, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr See Mee Hoong berkata, tekanan emosi yang tidak dikendalikan dengan baik boleh melemahkan sistem imun badan, sekali gus menjejaskan keberkesanan rawatan.

"Situasi menjadi lebih serius apabila pesakit tidak mendapat sokongan daripada suami. Ini boleh menyebabkan gangguan emosi yang mempercepatkan penyebaran sel kanser," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Merokok, faktor genetik punca kanser payudara dalam kalangan lelaki — Pakar

BACA LAGI: Ibu muda kurang dapat sokongan, proses menyusukan anak boleh cetus tekanan mental — Pakar

 

 

Dr See Mee Hoong

 

 

Menurut beliau, terdapat kes di mana pesakit enggan hadir ke hospital kerana takut menerima berita buruk.

"Bila suami tidak beri sokongan, emosi mereka mudah terganggu dan akhirnya rawatan tertangguh. Apabila rawatan dilewatkan, sel kanser boleh merebak ke tahap lebih teruk dan menyukarkan proses pemulihan," katanya.

Jelasnya, aspek psikososial seperti rasa takut, malu, kecewa atau kemurungan turut memainkan peranan besar dalam proses penyembuhan atau sebaliknya mempercepatkan kemerosotan kesihatan.

“Oleh itu, penglibatan suami sejak awal diagnosis hingga ke fasa rawatan amat penting, bukan sahaja dari sudut emosi, tetapi juga dalam aspek membuat keputusan, logistik dan penjagaan anak-anak," katanya.

Wanita 50-an paling berisiko

Wanita berumur sekitar 50 tahun sama ada berkerjaya atau suri rumah adalah kumpulan paling ramai berisiko menghidap kanser payudara. — Gambar hiasan/ Agensi

Mengulas lanjut, Dr See berkata, wanita berumur sekitar 50 tahun sama ada berkerjaya atau suri rumah adalah kumpulan paling ramai berisiko menghidap kanser payudara.

Namun, katanya, risiko bukanlah bergantung kepada status pekerjaan semata-mata.

"Sebaliknya, faktor seperti umur, sejarah keluarga, perubahan hormon, gaya hidup serta tahap aktiviti fizikal menjadi penentu utama terhadap kerentanan penyakit ini.

"Kami juga pernah mengesan pesakit seawal usia 30-an, kebiasaannya berpunca daripada faktor genetik," ujarnya.

Katanya lagi, wanita berusia antara 50 hingga 70 tahun pula lazimnya berhadapan risiko disebabkan faktor usia, hormon dan sejarah kesihatan diri.

Beliau turut mendedahkan, sebanyak 16,430 kes baharu kanser payudara direkodkan di Malaysia dalam tempoh lima tahun (2017–2021), berbanding 13,485 kes dalam tempoh sebelumnya (2012–2016), menunjukkan peningkatan hampir 3,000 kes.

"Lebih membimbangkan, peratusan pesakit yang dikesan pada tahap tiga dan empat turut meningkat daripada 48 peratus kepada 50.5 peratus.

"Sebab itu kami tekankan kepentingan menjalani saringan awal. Jika dikesan lebih awal, kadar kelangsungan hidup adalah sangat tinggi," tegasnya.

Suami jadi tiang emosi

Sokongan suami amat penting untuk bantu isteri melalui fasa rawatan dengan lebih positif dan tenang. — Gambar Hiasan/Janaan Ai

Dalam pada itu, Dr See turut menegaskan betapa pentingnya peranan suami dalam memberi sokongan semasa rawatan, khususnya ketika pesakit menghadapi kehilangan payudara.

"Ramai wanita risau selepas rawatan kerana bimbang hilang payudara. Ia bukan sekadar isu fizikal, tetapi turut menyentuh maruah dan emosi mereka sebagai wanita.

"Sokongan suami amat penting untuk bantu isteri melalui fasa rawatan dengan lebih positif dan tenang,” katanya.

Walaupun masih terdapat segelintir suami yang kurang peduli, beliau tidak menafikan bahawa kebanyakan pasangan hari ini lebih terbuka dan prihatin terhadap keperluan isteri.

"Ada yang memainkan peranan aktif menemani isteri ke hospital dan sentiasa memberi sokongan moral.

"Wanita yang mendapat sokongan moral dan fizikal daripada pasangan mempunyai kadar kelangsungan hidup yang lebih tinggi serta kesihatan mental yang lebih stabil sepanjang rawatan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram