
SUASANA penuh romantis dan penuh makna menjelang hari bersejarah di Istana Alam Shah, Klang, apabila Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, menitipkan ucapan indah buat bakal permaisuri hati, Afzaa Fadini Abdul Aziz.
Menerusi catatan yang dimuat naik di Instagram peribadinya, Tengku Amir Shah menzahirkan doa dan harapan agar ikatan yang bakal terjalin kekal harmoni serta diberkati.
"Sayang, malam ini saya doa semoga masa depan kita sentiasa indah. Moga ALLAH lindungi kita, tunjukkan jalan yang baik dan penuh cahaya. Saya juga doa kita nanti dikurniakan keluarga yang sihat, kuat dan hubungan kita makin kukuh dengan kasih sayang, percaya dan hormat menghormati," titip baginda.
BACA LAGI: Anggap anak demam biasa, rupanya alami sepsis 'pembunuh' senyap, perhati tanda-tanda awal ini
Ucapan penuh kasih itu sekali gus menyentuh hati ramai, khususnya rakyat Selangor yang tidak sabar menyaksikan detik bersejarah perkahwinan Diraja pada Khamis ini.
Sebelum ini, pihak Istana Selangor telah mengumumkan bahawa Tengku Amir bakal menamatkan zaman bujang bersama pilihan hati, Afzaa Fadini pada 2 Oktober.
Majlis perkahwinan diraja itu dijadual berlangsung di Istana Alam Shah dengan penuh adat dan istiadat kebesaran Melayu.
Sebagai persediaan, Polis Klang Selatan turut mengumumkan penutupan beberapa laluan utama di sekitar Klang bermula 27 September hingga 29 September serta 1 hingga 2 Oktober bagi memastikan kelancaran perjalanan istiadat.
Penutupan jalan yang melibatkan kawasan sekitar Istana Alam Shah itu akan bermula seawal pukul 8 pagi sehingga selesai.
Antara laluan yang ditutup sepenuhnya termasuk Jalan Tengku Diaudin ke Jalan Istana, Jalan Istana ke Bulatan Simpang Lima, Jalan Istana ke Jalan Stadium Sultan Suleiman serta beberapa jalan berhampiran kawasan istana.
Orang ramai turut dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal serta menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.
Dalam ucapan yang sama, baginda turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya rakyat Selangor, yang tidak putus-putus menitipkan doa sempena istiadat perkahwinan Diraja ini.
"Beta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh rakyat Selangor atas doa yang telah dipanjatkan.
"Sesungguhnya beta amat bersyukur atas segala ingatan dan doa tulus ikhlas tersebut terutamanya melalui majlis-majlis doa selamat yang telah diadakan di seluruh negeri Selangor bersempena dengan istiadat perkahwinan beta dengan Cik Afzaa Fadini," titah baginda.
Selepas istiadat akad nikah dan perkahwinan pada 2 Oktober, acara kemuncak perayaan Diraja akan diteruskan dengan Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja yang dijadual berlangsung pada 22 Oktober depan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah.
Detik penuh bersejarah itu bukan sahaja menjadi momen indah buat pasangan Diraja, malah turut mengikat rasa kebersamaan antara institusi Diraja Selangor dan rakyat jelata yang sentiasa mendoakan kesejahteraan baginda berdua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram