DALAM dunia keusahawanan yang penuh cabaran, tidak semua perjalanan adalah manis.
Begitu juga kisah pengasas Aiskrim Mokti’s, Siti Fatimah Adnan yang pernah melalui jatuh bangun perniagaan sebelum menimba pelbagai pengajaran berharga.
Pernah memiliki hampir 100 cawangan di seluruh negara, kini rangkaian Aiskrim Mokti’s tinggal lebih 30.
BACA LAGI: Aiskrim gula apong bikin suri rumah jadi usahawan berjaya
BACA LAGI: Graduan UiTM jual aiskrim gula apong sampai tembusi pasaran Istanbul
Namun, bagi Siti Fatimah, angka kini bukanlah ukuran kejayaan sebenar.
Beliau kemudian berkongsi enam iktibar utama yang menjadi panduan bisnesnya hingga hari ini:
1) Usahawan tidak seharusnya memperbesarkan perniagaan jika belum bersedia dari segi mental dan emosi.
Ia kerana semakin besar bisnes, semakin besar tanggungjawab yang perlu dipikul.
2) Sistem yang kukuh lebih penting daripada semangat semata-mata.
Semangat hanya mampu bertahan sementara, manakala sistem mampu menjamin kelangsungan perniagaan untuk jangka panjang.

Cawangan kelima Aiskrim Mokti’s yang masih beroperasi di Kuala Kangsar, Perak. — Instagram/fatimah2zahraa
3) Pemasaran dan penjenamaan yang menarik tidak dapat menutup kelemahan produk.
"Pemasaran baik, poster padu, pempengaruh elok semua tapi kalau produk tak konsisten, prosedur standard operasi (SOP) 'kelaut', penjenamaan cuma jadi 'topeng'. Ingat, konsisten lagi mahal daripada tular," pesannya.
4) Usahawan perlu berhati-hati dalam mempercayai orang lain kerana tidak semua rakan kongsi datang dengan niat yang sama.
Ada yang benar-benar mahu berjuang dan ada yang hanya mahu menumpang peluang.
"Bezakan semua itu. Jenama ini kita bina dengan air mata, bukan gula semata," kata Siti Fatimah.
5) Setiap perjuangan dalam perniagaan perlu berlandaskan niat yang betul, iaitu kerana ALLAH SWT agar hati kekal tenang dan tabah menghadapi ujian.
6) Kejayaan tidak diukur melalui angka atau saiz perniagaan semata-mata, sebaliknya melalui nilai, keberkatan dan impak yang dibawa oleh bisnes tersebut.
"Jangan kejar nombor, kejar nilai. Ingat tak semua besar tanda berjaya," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
