11 das meriam bergema, Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah kini sah bergelar suami Datin Paduka Afzaa Fadini


  • Cinta
  • Khamis, 02 Okt 2025

Tengku Amir Shah (kiri) selamat melafazkan akad nikah dengan pilihan hatinya, Afzaa Fadini Abdul Aziz (kanan) pada Khamis pagi. — Media sosial

ISTANA Alam Shah menjadi saksi kepada sebuah detik bersejarah apabila Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selamat melafazkan akad nikah dengan pilihan hatinya, Yang Mulia Datin Paduka Afzaa Fadini Abdul Aziz pada Khamis pagi.

Lafaz suci itu disambut dengan 11 das tembakan meriam yang menjadi simbolik kepada bermulanya satu lembaran baharu dalam kehidupan pewaris takhta Selangor.

Seawal pukul 9 pagi, suasana sekitar Shah Alam, Selangor sudah dipenuhi debaran apabila Tengku Amir Shah berangkat dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz. 

BACA LAGI: Nenek sempoi 'join' anak main 'skateboard', tak kekok pamer gaya bebas

BACA LAGI: Elyana terus cekal jalani kemoterapi, cinta suami, kasih sayang anak-anak sumber kekuatan lawan kanser

DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alha (kiri) dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin (kanan) mengabadikan gambar kenang-kenangan bersama pasangan mempelai.

Baginda yang segak dalam persalinan baju Melayu putih menaiki kereta terbuka dengan senyuman tenang, sambil melambaikan tangan kepada rakyat yang menanti di sepanjang laluan.

Perarakan diraja itu begitu mempesona dengan diiringi paluan kompang yang bergema, payung kuning yang megah diangkat, lembing dan bunga manggar yang menjadi simbol kebesaran, serta dulang berisi regalia adat istiadat. 

Setiap langkah seakan menghidupkan semula warisan Kesultanan yang turun-temurun.

Di dalam istana, majlis ijab kabul berlangsung penuh tertib sebelum diumumkan bahawa majlis bersanding pasangan diraja akan diadakan pada 22 Oktober ini. 

Dalam pada itu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz setelah beliau sempurna diijabkabulkan dengan Tengku Amir Shah. 

Sehubungan dengan itu, gelaran rasmi konsort kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Datuk Abdul Aziz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram