Asalnya tanam sayur untuk makan sendiri, kini wanita di Kiulu jana pendapatan dengan agropelancongan


  • Sukses
  • Rabu, 22 Okt 2025

Joniston (tengah) membantu dalam kerja-kerja pemasangan pagar.

PADA awalnya hanya bermula sebagai aktiviti sampingan untuk menambah pendapatan, kini berkembang menjadi usaha berimpak besar dalam kelestarian makanan dan agropelancongan di pedalaman Sabah.

Sekumpulan wanita di Kampung Bambangan Lama, Kiulu, memanfaatkan tanah di Pusat Rekreasi Kampung dengan menanam pelbagai jenis sayur seperti tomato ceri, terung, kailan dan kundur, bukan sahaja untuk kegunaan sendiri tetapi juga bagi menjana pendapatan komuniti.

Menurut pengerusi kumpulan itu, Catherine Barantis, projek yang bermula secara kecil-kecilan kini menjadi inisiatif konsisten dan dijalankan dengan penuh komitmen.

BACA LAGI: 'Jangan kejar nombor, kejar nilai', dari 100 cawangan kini tinggal 30, pengasas Aiskrim Mokti’s kongsi 6 iktibar bisnes

BACA LAGI: Dari doktor gigi ke 'pakar' pastri, konsep 'rustic' pilihan Dr. Ezani, tak menang tangan urus 2 kafe

“Ada antara kami mampu meraih sehingga RM4,000 setahun. Mungkin nampak kecil, tetapi ini hasil usaha sendiri. 

"Kami juga menanam makanan untuk keluarga, jadi tiada yang terbuang,” katanya.

Catherine berkata, hasil tanaman dijual di pasar raya berhampiran manakala sebahagian digunakan untuk kegunaan harian keluarga. 

Lebih penting, aktiviti itu memberi peluang kepada wanita kampung untuk mempunyai pendapatan sendiri dan menambah keyakinan diri.

Hasil tanaman dijual di pasar raya berhampiran manakala sebahagian digunakan untuk kegunaan harian keluarga

Baru-baru ini, kumpulan itu menerima bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai bagi membina pagar di ladang komuniti mereka.

Langkah itu jelasnya, penting bagi mengelak tanaman daripada dirosakkan haiwan ternakan liar.

“Kami amat berterima kasih atas sokongan diberikan. Dengan adanya pagar, kami boleh memberi tumpuan pada penambahbaikan ladang dan menyahut seruan wakil rakyat untuk memperkasa diri melalui agropelancongan,” ujar Catherine.

Kini, pusat rekreasi yang diusahakan wanita tersebut sedang dibangunkan sebagai tapak agropelancongan komuniti, membolehkan pelancong memetik sayur-sayuran segar secara terus dari kebun dan merasai sendiri suasana kehidupan kampung.

Tahun lalu, Pusat Rekreasi Kampung Bambangan Lama turut dicalonkan bagi Anugerah Piawaian Pelancongan Berasaskan Komuniti ASEAN (Asean Community-Based Tourism Standard) sebagai pengiktirafan terhadap pendekatan berasaskan komuniti yang dijalankan, meskipun tidak berjaya ke peringkat akhir.

Dalam lawatan ke kampung berkenaan pada Isnin, Joniston memuji usaha gigih wanita-wanita itu yang disifatkannya sebagai contoh pemerkasaan masyarakat luar bandar melalui kreativiti dan kerjasama.

“Wanita-wanita ini bukan sahaja membantu keluarga mereka, malah menunjukkan bahawa pemerkasaan boleh bermula di peringkat komuniti. 

"Mereka membuktikan kerjasama dan kreativiti mampu memberi nilai tambah kepada masyarakat serta pengalaman pelancongan,” katanya.

Joniston turut menyatakan komitmennya untuk terus menyokong inisiatif seumpama itu yang memberi manfaat langsung kepada wanita dan keluarga di Kiulu. — The Star/STEPHANIE LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram