SELEPAS mengejutkan peminat dengan memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya, pelakon Uqasha Senrose mendakwa wujud perbezaan antara majlis akad nikah yang diketahuinya dengan tarikh tercatat dalam sijil nikah rasmi.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen mendakwa beliau hanya mengetahui perkara itu selepas menghadiri prosiding mahkamah pada pagi Rabu.
BACA LAGI: Aiskrim gula apong bikin suri rumah jadi usahawan berjaya
"ALLAH Maha Besar, MasyaALLAH satu lagi (masalah). Aku dinikahkan dan diakad atas pengetahuan aku pada 5 November 2021 pukul 9 pagi.
"Tapi rupanya di sijil nikah aku dinikahkan ada 4 November 2021 pada pukul 9.30 malam tanpa pengetahuanku. Allahuakhbar, adakah sah perkahwinan ini?
“Selama ini aku diperbodohkan seluruh keluarganya dan bapa saya dimanipulasikan si dia serta keluarga untuk kata sah sebab dah ada wali,” katanya dalam hantaran Instagram.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu turut memohn pandangan daripada pakar agama berhubung isu yang timbul.
"Tanpa pengetahuan bakal isteri? Sah ke? Cukup ke syarat sah kahwin? Ustaz dan ustazah mohon tolong saya," tulis beliau.
Sebelum ini, Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya yang juga pelakon, Kamal Adli di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober sebagai tarikh baharu untuk prosiding seterusnya kes perceraian Uqasha dan Kamal.

Mohamad Sabri berkata, perbezaan tarikh mungkin berlaku akibat kesilapan teknikal dalam proses pendaftaran.
Sementara itu, Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron menjelaskan, perbezaan tarikh akad nikah dengan tarikh tercatat dalam sijil nikah rasmi tidak menjejaskan kesahihan sesebuah perkahwinan.
Menurut beliau, perkahwinan itu adalah sah sekiranya akad nikah dilaksanakan mengikut rukun dan syarat ditetapkan dalam Islam, termasuk kehadiran wali dan saksi yang sah.
“Ya, perkahwinan itu sah. Kalau pada tarikh sebenar akad, semua rukun dan syaratnya cukup, ada wali, saksi dan ijab kabul yang sah, maka pernikahan tersebut sah di sisi syarak,” jelasnya ketika dihubungi Majoriti.
Tambahnya, perbezaan tarikh mungkin berlaku akibat kesilapan teknikal dalam proses pendaftaran dan ia boleh diperbetulkan di pejabat agama.
“Tak ada masalah pun sebab dokumen tersebut hanya berfungsi sebagai rekod dan sokongan kepada perkahwinan,” katanya.
Mohamad Sabri turut menjelaskan, dalam Islam, akad nikah menjadi asas pada kesahihan perkahwinan, manakala sijil dan dokumen rasmi hanyalah rekod pentadbiran moden.
“Zaman dahulu pun orang kahwin tanpa dokumen, asalkan ada saksi dan wali, sah pernikahan itu.
"Sekarang ini sijil cuma sebagai bukti atau support letter supaya mudah urusan pendaftaran dibuat,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
