[VIDEO] 'Hebat-hebat belaka', kepetahan johan pidato PASTI Terengganu petanda aset masa depan negara


  • Massa
  • Isnin, 09 Dis 2024

Persembahan johan pidato dari Jabatan PASTI Terengganu menjadi antara yang menarik perhatian penonton.

KEJOHANAN tahunan Alam Ria Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Malaysia 2024 berlangsung dengan meriah di Kem Permata Resort, Alor Gajah, Melaka pada 30 November lalu.

Majlis perasmian yang disempurnakan Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaludin menyaksikan Wilayah Persekutuan mendominasi kemenangan dalam kejohanan kali ini dengan merangkul juara keseluruhan.

Dalam pada itu, laman Facebook PASTI Malaysia turut berkongsi beberapa rakaman menunjukkan gelagat para peserta ketika pertandingan dijalankan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Customer' sampai nak buat menantu, penangan cucur kembung gadis persis Ummi Nazeera pikat hati pelanggan

BACA LAGI: 'Usaha tidak khianati hasil', persepsi negatif tak jadi penghalang Faeeza Noor sukses buka butik pakaian, aksesori di Semenyih

Antara yang menarik perhatian termasuk persembahan seorang kanak-kanak perempuan dari Jabatan PASTI Terengganu yang berjaya merangkul gelaran johan pidato menewaskan pencabar lain.

Klip berdurasi enam minit 16 saat dimuat naik pada Ahad itu menunjukkan budak perempuan yang berpakaian uniform sekolah tersebut petah menyampaikan pidato bertajuk Perjuangan Rasulullah SAW dalam Memerdekakan Umat Manusia.

Dengan aura penuh keyakinan, kanak-kanak itu bercerita tentang usaha baginda menegakkan syariat Islam setelah diangkat menjadi Rasul.

"Baginda tidak hanya membebaskan umat daripada belenggu fizikal, tetapi juga daripada penindasan rohani dan moral," katanya.

Persembahan kanak-kanak tersebut dan rakan seperjuangan yang lain ternyata memberi impak luar biasa buat penonton dengan ramai yang mengakui terpukau dengan keberanian dan kepetahan mereka dalam setiap penyampaian.

Menjengah ke ruangan komen juga, rata-rata warga maya kagum dengan hasil didikan daripada tenaga pengajar di pusat asuhan itu.

"Umur enam tahun kalau begini gayanya, memang cerdik. Semoga berjaya dunia dan akhirat," tulis Panglima Harimau Kumbang.

"Alhamdulillah anak saya dapat nombor tiga pidato peringkat daerah anjuran PASTI. Tak rugi hantar anak ke PASTI. Umur enam tahun boleh kuasai (kemahiran) 3M (membaca, menulis dan mengira) dan mempunyai keyakinan yang tinggi," kata Sharif Ismail.

Sementara itu, Hafizuddin Ismail pula beranggapan bahawa pemimpin masa hadapan perlu dibentuk sejak dari kecil.

"Alhmdulillah, hebat dik tahniah! Bakal pemimpin masa depan dibentuk dari kecil lagi, kenapalah ada yang sakit hati sangat, sepatutnya sokong ramai-ramai," ujarnya.

"Hebat-hebat belaka anak keluaran PASTI," tambah Khairunnisa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram