Perdana menteri wanita pertama Jepun, Sanae Takaichi pemimpin jiwa 'heavy metal', peminat motor berkuasa tinggi 


  • Sukses
  • Rabu, 22 Okt 2025

Takaichi membawa gaya kepimpinan tersendiri, yakni gabungan disiplin keras, patriotisme mendalam dan keberanian mencabar norma jantina dalam politik Jepun. — Agensi

SANAE Takaichi, tokoh politik beraliran ultrakonservatif yang terkenal dengan ketegasan dan disiplin tinggi, mencipta sejarah selepas dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun.

Pelantikan pada Selasa itu sekali gus menjadikan beliau wanita pertama mengetuai Parti Demokratik Liberal (LDP), parti yang mendominasi politik Negara Matahari Terbit itu sejak era pascaperang.

Berusia 64 tahun, Takaichi dikenali sebagai individu yang bekerja keras dan jarang berkompromi dalam tugasnya.

BACA LAGI: Dari doktor gigi ke 'pakar' pastri, konsep 'rustic' pilihan Dr. Ezani, tak menang tangan urus 2 kafe

BACA LAGI: Dulu masuk hutan pun tak pernah, kini hampir 10 tahun veterinar asal Sandakan 'gadai' tenaga rawat haiwan liar

Biar dua kali tewas dalam perebutan kepimpinan LDP, beliau kini bangkit dengan semangat baharu, menekankan pentingnya kesetiaan dan dedikasi dalam kalangan ahli parti.

“Saya akan buang perkataan ‘keseimbangan kerja dan kehidupan’. Saya akan bekerja, bekerja, bekerja dan terus bekerja,” tegasnya dalam satu ucapan yang tular di media sosial.

Berbeza dengan kebanyakan ahli politik Jepun yang datang dari keluarga elit, Takaichi dilahirkan berhampiran kota purba Nara dan berasal daripada keluarga sederhana.

Ibunya bekerja di jabatan polis manakala bapa beliau pula di kilang alat ganti kereta.

Takaichi dilantik sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun pada Selasa. — Agensi

Sejak kecil, Takaichi sedar akan tekanan yang dihadapi wanita Jepun. Dalam biografi terbitan 2024 oleh Eiji Ohshita, beliau mengimbas pesanan ibunya agar menjadi 'mawar merah menyala', mengekalkan kelembutan feminin, namun memiliki duri untuk menentang ketidakadilan.

Ibu bapanya pernah beranggapan anak perempuan tidak memerlukan pendidikan tinggi dan menasihatkannya agar tidak belajar di universiti swasta ternama di Tokyo.

Namun, Takaichi bertegas dan akhirnya memasuki Universiti Kobe pada akhir 1970-an, kira-kira 80 kilometer (km) dari kampung halaman.

Ketika belajar, beliau menempuh perjalanan enam jam setiap hari menaiki bas dan kereta api dari rumahnya.

Walaupun meminati muzik heavy metal dan motosikal berkuasa tinggi Kawasaki, beliau mematuhi kehendak ibu yang tidak membenarkannya tinggal di asrama sebelum berkahwin.

“Saya bermimpi memiliki istana sendiri,” tulisnya dalam memoir pada 1992.

Selepas tamat pengajian, Takaichi menyertai Institut Tadbir Urus dan Pengurusan Matsushita, tempat melatih pemimpin muda Jepun.

Di sebalik imej tegas, Takaichi dikenali sebagai peminat tegar muzik rock klasik dan pemukul dram amatur. — Agensi

Pada akhir 1980-an, beliau menyertai latihan industri di pejabat ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Patricia Schroeder, juga seorang feminis terkenal.

Di Washington, AS, Takaichi dikenali sebagai pelatih bersemangat yang banyak bertanya tentang sistem politik AS dan mula menyukai mentega kacang!

Sekembalinya ke Jepun, beliau menjadi penulis dan personaliti televisyen yang lantang berdebat, sebelum memenangi kerusi Parlimen pada 1993 sebagai calon bebas dari Nara.

Murid kesayangan

Takaichi merupakan anak didik kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang terbunuh pada 2022.

Hubungan rapat dengan Abe membuka jalan untuk beliau menyertai Kabinet dan menjadi salah seorang penyokong kuat dasar konservatifnya, termasuk usaha meminda perlembagaan bagi memperkukuh tentera Jepun.

Beliau sering digambarkan sebagai pewaris ideologi Abe, dengan visi menjadikan Jepun 'kuat dan makmur semula' melalui slogan Japan is back.

Takaichi juga menyokong dasar ketat terhadap China dan mahu memperkukuh hubungan dengan sekutu tradisional seperti AS, namun dengan pendekatan lebih tegas terhadap isu keselamatan serta imigresen.

Takaichi melupakan minat terhadap motosikal selepas menyertai politik. — Agensi

Politik lelaki

Menjadi wanita dalam dunia politik Jepun yang dikuasai lelaki bukan perkara mudah.

Takaichi pernah berdepan diskriminasi apabila diabaikan oleh rakan sejawat lelaki, malah banyak mesyuarat penting diadakan di tempat yang sukar diakses wanita seperti kelab sosial atau sauna.

“Sukar untuk wanita berjumpa lelaki satu lawan satu. Orang akan bercakap-cakap dan saya pula tidak mahu timbul gosip,” luahnya dalam satu temu bual bersama Associated Press pada 1993.

Pun demikian, kecekalan dan kesetiaannya membuahkan hasil. Selepas dilantik ke Kabinet pada 2006 dan 2012 di bawah kepimpinan Abe, Takaichi kini menempah tempat dalam sejarah politik Jepun sebagai simbol perubahan, walaupun masih mengekalkan nilai konservatif yang kuat.

Takaichi (kiri) merupakan anak didik kepada bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe. — Agensi

Di sebalik imej tegas, Takaichi dikenali sebagai peminat tegar muzik rock klasik dan pemukul dram amatur.

Antara kumpulan kegemarannya ialah Iron Maiden dan Deep Purple, selain gemar mengenakan sut biru sebagai penghormatan kepada idola beliau, bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher.

Walaupun digelar Thatcher Jepun, Takaichi membawa gaya kepimpinan tersendiri, yakni gabungan disiplin keras, patriotisme mendalam dan keberanian mencabar norma jantina dalam politik Jepun.

Kini, dengan pelantikan bersejarah itu, Jepun memasuki era baharu di bawah seorang pemimpin wanita yang pernah bermimpi memiliki 'istana' sendiri dan kini, istana itu adalah Pejabat Perdana Menteri Jepun di Nagatacho, Tokyo. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram