PENDIDIKAN awal berasaskan pendekatan holistik seperti kaedah Montessori semakin mendapat perhatian dalam kalangan ibu bapa di Malaysia.
Berbeza daripada sistem pengajaran konvensional yang bergantung kepada kaedah berstruktur dan latihan berulang, pendidikan Montessori memberi kebebasan kepada kanak-kanak meneroka mengikut minat, tempo belajar serta naluri perkembangan semula jadi.
Seiring perkembangan itu, Tengku Muhammad Johan Petra, putera kepada Tengku Mahkota Kelantan, memulakan pendidikan prasekolah pada usia dua tahun di sebuah institusi beraliran Montessori.
BACA LAGI: 'Zaman sekarang perempuan serba boleh', ibu dorong anak ceburi sukan motocross seawal usia 5 tahun
Perkara tersebut dikongsikan ibundanya, Che Puan Sofie Louise Johansson Petra menerusi hantaran di Instagram, yang memaklumkan bahawa putera sulung baginda kini mengikuti pembelajaran itu seawak usia dua tahun.
Jelasnya, momen itu merupakan satu kebanggaan kerana masih dapat mengekalkan identiti warisan Sweden walaupun menetap di Malaysia.
Che Puan Sofie dalam masa sama turut menyatakan pendedahan awal kepada pelbagai bahasa merupakan sebahagian daripada perancangan pendidikan Tengku Johan, selaras dengan persekitaran keluarganya yang menggabungkan dua budaya.
"Hari pertama Johan di prasekolah, kedua-dua bahasa Inggeris dan Melayu dituturkan di sekolah, kami juga bertuah kerana mempunyai sekolah Sweden di Malaysia.
"Kaedah pendidikan Montessori ialah sejenis kaedah pendidikan yang melibatkan minat dan aktiviti semula jadi kanak-kanak dan bukannya kaedah pengajaran formal," katanya
Diasaskan oleh doktor Itali, Maria Montessori pada awal abad ke-20, kaedah itu menekankan pembelajaran melalui pengalaman, kebebasan memilih aktiviti, interaksi sensori, kelas pelbagai peringkat umur dan bimbingan guru sebagai fasilitator.
Sekadar info, Che Puan Sofie yang berasal dari Mjolby, Sweden, mendapat pendidikan dalam bidang Bahasa Inggeris dan Sosiologi sebelum berhijrah ke Malaysia.
Baginda berkahwin dengan Tengku Muhammad Fa-iz Petra pada 19 April 2019 dalam satu istiadat diraja di Kota Bharu, Kelantan sekali gus menyertai kerabat diraja Kelantan melalui perkahwinan dibina.
Selaras dengan protokol istana, baginda dikurniakan gelaran Che Puan, gelaran yang digunapakai bagi individu yang bukan berasal daripada keturunan diraja, namun menjalankan peranan rasmi sebagai anggota institusi diraja.
Pendekatan Montessori yang dipilih untuk pendidikan awal Tengku Johan dilihat selari dengan keperluan pembelajaran pelbagai bahasa kerana kaedah tersebut menyokong komunikasi terbuka, interaksi semula jadi dan pembelajaran berasaskan pengalaman.
Ia sekali gus mencerminkan trend semasa di mana ibu bapa berpendidikan global cenderung memilih kaedah pembelajaran yang membina jati diri sebelum anak digerakkan kepada akademik formal di peringkat seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
