Tragedi 2 beranak di Juru: Ustazah Asma' seru kenang kebaikan arwah, jangan nilai cara kematian


  • Maya
  • Selasa, 21 Okt 2025

Ustazah Asma' Harun menyeru masyarakat sentiasa bersangka baik dalam mana-mana kes kematian.

SUSULAN tragedi menyayat hati menimpa dua beranak di Juru, Pulau Pinang, baru-baru ini, pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun menyeru masyarakat agar tidak membuat penilaian melulu terhadap kematian seseorang.

Beliau sebaliknya menggesa masyarakat untuk menyebut kebaikan si mati sebagaimana tuntutan dalam Islam.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Allahyarham Sariya Che Hin dan anaknya Nur Afrina Alisha digambarkan oleh keluarga serta sahabat terdekat sebagai insan lemah lembut yang sangat disenangi ramai.

 BACA LAGI: Digelar enggang, pipit, isteri 'upgrade' gaya hidup cara berbeza ikut kemampuan suami, bahagia tak perlu mewah

 BACA LAGI: Demam denggi tak halang Aleesya duduki IGCSE, tamat 'exam' Engku Emran segera bawa semula ke hospital

"Pemergian mereka berlaku dalam ketentuan ALLAH yang Maha Mengetahui rahsia dan hikmahnya, kita diajar melihat kematian dengan pandangan iman, bukan semata dengan mata zahir," katanya.

Sariya Che Hin dan anak angkatnya, Nur Afrina Alisha dilaporkan maut ditetak di bahagian belakang leher dipercayai menggunakan pisau pemotong daging.

 

Jangan nilai cara kematian

Menurut Asma’ Harun, keadaan kematian yang tragis atau menyedihkan bukan ukuran baik buruknya pengakhiran seseorang.

"Buruk pada pandangan manusia belum tentu su’ul khatimah, dan cantik pada pandangan manusia belum tentu husnul khatimah. Hakikatnya hanya ALLAH mengetahui keadaan hati seseorang ketika hembusan nafas terakhir," ujarnya.

Beliau dalam masa sama turut mengingatkan bahawa umat Islam dianjurkan untuk mengucapkan kata-kata baik ketika menerima berita musibah atau kematian, berpandukan hadis Ummu Salamah r.a. yang menjelaskan bahawa malaikat mengaminkan setiap ucapan kebaikan buat si mati.

Daripda Ummu Salamah ra, Rasulullah SAW bersabda

 

إذا حضرتمُ المريضَ أوِ الميِّتَ فقولوا خيرًا فإنَّ الملائِكةَ يؤمِّنونَ على ما تقولونَ قالت فلمَّا ماتَ أبو سلمةَ أتيتُ النَّبيَّ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ فقلتُ يا رسولَ اللَّهِ إنَّ أبا سلمةَ ماتَ قالَ فقوليَ اللَّهمَّ اغفِر لي ولَهُ وأعقِبني منْهُ عقبى حسَنةً قالت فقلتُ فأعقَبَني اللَّهُ منْهُ مَن هوَ خيرٌ منْهُ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ

Maksudnya : Apabila kamu menghadiri orang yang sakit atau meninggal dunia, maka ucapkanlah perkataan yang baik-baik, kerana para malaikat akan mengaminkan apa yang kamu ucapkan.

 

Contoh para syuhada Islam

Menjadikan sejarah Islam sebagai kisah teladan, kematian Sayyidina Hamzah yang gugur dalam keadaan jasadnya dicincang dalam Perang Uhud menurutnya tetap dimuliakan sebagai Penghulu Para Syuhada.

"Ini bukti bahawa rupa kematian tidak mencerminkan nilai seseorang di sisi ALLAH yang dinilai adalah ketakwaan dan perjuangan mereka," katanya.

Beliau turut menyentuh keadaan di bumi bergolak hari ini, di mana ramai wanita dan kanak-kanak syahid dalam keadaan jasad tidak sempurna, namun berada dalam kemuliaan di sisi Allah SWT.

"Berniatlah setiap hari untuk mati dalam keadaan baik, kerana yang dinilai bukan cara kita mati, tetapi bagaimana hati kita saat dipanggil Ilahi," katanya.

Beliau mendoakan agar roh dua beranak tersebut ditempatkan bersama orang beriman dan dikurniakan ketenangan di sisi ALLAH SWT.

Terdahulu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suami wanita terbabit ditahan selama seminggu hingga 25 Oktober bagi membantu siasatan.

Jenazah dibawa pulang ke kampung halaman di Jeneri, Sik, Kedah dan telah dikebumikan pada Ahad malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram