'Zaman sekarang perempuan serba boleh', ibu dorong anak ceburi sukan motocross seawal usia 5 tahun


  • Bonda
  • Ahad, 19 Okt 2025

Sophie Arissa mula menceburi sukan lasak motocross seawal usia lima tahun.

DALAM dunia moden hari ini, semakin ramai ibu bapa mula membuka ruang untuk anak-anak mencuba pelbagai bidang tanpa membataskan pada jantina.

Bagi Nur Ain Azrina Mohd Alias, ibu kepada tiga cahaya mata ini percaya perempuan juga mampu menyerlah dalam sukan lasak asalkan minat disemai sejak kecil dan keselamatan diutamakan.

Anaknya sulungnya, Sophie Arissa, 10 tahun, atau lebih mesra disapa Jelita, mula menunjukkan minat mendalam terhadap sukan permotoran motocross seawal usia lima tahun.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Serai, cili padi pun ada', terhibur gelagat Janna Nick, suami beli barang dapur bajet RM200 di London

BACA LAGI: Kasih sayang selamanya, anak hadir majlis graduasi pakai 'skirt' guna tali leher mendiang bapa

Menurut Ain, segalanya bermula ketika negara dilanda wabak pandemik Covid-19 yang menyebabkan segala aktiviti dan dunia luar agak terhad.

 

 

 

 

"Masa umur dia nak masuk lima tahun, bapanya carikan aktiviti baharu, terjumpa sukan motocross. Jadi kami cuba bagi dia belajar, tak sangka mampu bawa motor kecil dan imbangkan sendiri.

"Pada mulanya, Jelita agak takut menunggang motosikal sebenar walaupun pernah bermain dengan motor bateri di rumah.

"Tapi berkat latihan berterusan rasa takut bertukar menjadi minat mendalam. Sekarang kalau pergi event, motor ada masalah sikit pun, dia boleh nangis, itu tandanya betul-betul minat," katanya kepada Majoriti.

Walaupun motocross dikenali sebagai sukan ekstrem, aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan setiap kali anaknya menyertai perlumbaan.

Akui pada mulanya agak risau tentang risiko kecederaan boleh dihadapi, namun Ain yakin bahawa setiap sukan mempunyai cabaran tersendiri dan paling penting sentiasa melakukan persediaan rapi.

 

 

 

"Setiap kali Jelita berlumba, memang dilengkapi pakaian perlindungan penuh termasuk helmet, sarung tangan dan pelindung badan.

"Setakat ini Alhamdulillah belum ada kecederaan serius, semua sukan ada risiko, yang penting keselamatan dan disiplin diutamakan," jelasnya lagi.

"Mula-mula memang ada orang pelik, sebab dia perempuan, tapi saya fikir zaman sekarang semua sama, tak boleh kata lelaki saja boleh main motor.

"Perempuan pun boleh, macam juga lelaki boleh masuk dapur," tambahnya.

Kini, pada usia 10 tahun, Jelita sudah menunjukkan potensi besar dengan pencapaian terbaharu, dia berjaya merangkul tempat pertama kategori 50cc bawah 12 tahun dalam satu perlumbaan anjuran Jabatan Sukan Negeri Selangor di Ulu Yam baru-baru ini.

"Menang kalah adat perlawanan tapi syukur setakat ini top 5 memang selalu dalam tangan," ujarnya dengan nada bangga.

Bagi mereka sekeluarga, kejayaan itu bukan sekadar kemenangan di trek, tetapi simbol keberanian dan keyakinan diri seorang anak perempuan yang berani mencabar batas stereotaip.

"Kami nak dia anggap ini hobi dulu, tapi siapa tahu nanti mungkin jadi peluang kerjaya, apa pun, dia pernah cakap nak jadi macam idola dia Ahirine Ahirudin, jadi pengacara bila besar nanti," jelasnya mengakhiri perbualan.

Tidak sekadar mensasarkan trofi ataupun podium, Ain dan suaminya lebih mengutamakan nilai berdikari, keberanian dan semangat yang dipupuk sejak kecil sekali gus membuktikan anak perempuan juga mampu menguasai dunia lasak dengan gaya tersendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram