Reda bukan rezeki kembar, hanya satu janin selamat, Bella Park alami 'vanishing twin syndrome'


  • Bonda
  • Rabu, 22 Okt 2025

Bella dan suami bersyukur dikurniakan cahaya mata kedua menerusi perkongsian di laman sosial baru-baru ini.

 

 

BUKAN semua kehamilan kembar berakhir dengan kegembiraan.

Dalam dunia perubatan, wujud satu situasi yang jarang diketahui umum, dikenali sebagai vanishing twin syndrome (VTS) bila mana salah satu janin berhenti berkembang dan ‘hilang’ pada peringkat awal kehamilan.

Perkara itu turut dialami personaliti media sosial, Bella Park atau nama sebenarnya, Nurul Nabila Zolkepli yang dikhabarkan pada awalnya disahkan mengandungkan bayi kembar, namun hanya satu janin berjaya diselamatkan.

BACA LAGI: 'Tak bagi kerja, kena makan makanan sihat', anak autisme pempengaruh 'berleter' lepas tahu ibu hamil, 10 tahun tunggu nak adik

BACA LAGI: Suami, isteri kongsi pengalaman naik turun lengkapkan prosedur hak penjagaan anak angkat, lega dapat 'lampu hijau'

Menerusi perkongsian di laman Threads, Bella reda dengan ketentuan itu dan menegaskan beliau dan suami tetap bersyukur atas apa jua dugaan-NYA.

"Bella mengandung baby kembar tapi sayangnya satu dah tak ada, Bella reda, Alhamdulillah satu lagi baby tu dalam keadaan baik-baik sahaja.

"Apa saja yang jadi pasti ada hikmah. ALLAH lebih mengetahui, kita bukan kehilangan tapi memulangkan hak yang satu," katanya.

Meskipun diuji dengan kehilangan itu, Bella menzahirkan rasa syukur kerana janin yang masih ada berada dalam keadaan baik dan aktif.

“Ya, kita doa minta kat ALLAH nak anak, ALLAH bagi rasa dua sekejap dalam rahim tapi tak ada rezeki dua-dua, ALLAH jaga satu lagi, syukur dah. Saya memang okey, dua-dua kami suami isteri pun happy yang baby satu lagi tu sihat," katanya lagi.

 

 

 

Apa itu Vanishing Twin Syndrome

Menurut Dr. Layan Alrahmani, pakar obstetrik dan perubatan janin ibu berpangkalan di Amerika Syarikat, sindrom itu berlaku apabila salah satu janin dalam kehamilan berhenti berkembang dan diserap semula oleh tubuh ibu atau janin yang kekal.

Katanya, keadaan tersebut biasanya berlaku pada trimester pertama kehamilan menjadikan ramai wanita tidak menyedari mereka sebenarnya pernah mengandung kembar.

"Tisu janin hilang biasanya diserap oleh ibu dan janin yang kekal hidup.

"Dalam sesetengah kes, janin yang bertahan boleh mengambil sebahagian sel daripada kembarnya yang hilang dan menyebabkan si ibu keguguran tanpa disedari," ujarnya menerusi laporan agensi.

Kajian antarabangsa menganggarkan vanishing twin syndrome berlaku pada sekitar 30 hingga 36 peratus kehamilan kembar dan lebih kerap terjadi melalui rawatan persenyawaan in vitro (IVF).

 

Punca dan tanda-tanda awal

Antara faktor yang boleh meningkatkan risiko termasuk usia ibu melebihi 35 tahun, masalah kromosom pada salah satu janin, serta keadaan plasenta yang kecil atau tidak normal.

Kebanyakan kes tidak menunjukkan sebarang simptom, namun ada juga yang mengalami kekejangan ringan, pendarahan, atau sakit pelvis sebagai tanda awal.

 

 

 

Kongsi pengalaman

Dalam pada itu, di ruangan komen segelintir individu turut berkongsi pengalaman serupa apabila turut pernah berdepan masalah berkenaan.

"Sama macam saya masa 2023, masa scan doktor dah cakap yang satu ni nampak tak berapa cantik bentuk dia dan yang satu lagi bertahan sampai 16 minggu sahaja, Alhamdulillah tahun lepas hamil kembar lagi, sekarang usia mereka dah sembilan bulan," kata Nur Rasyida Wahab.

"Saya pun pernah jadi, mula-mula tak tau kembar, pastu tetiba bleeding pergi scan rupanya satu gugur tinggal satu lagi, sekarang dah 18 tahun, Alhamdulillah," ujar Che Puan Hana.

"Saya penah jadi masa anak kedua, 12 minggu je pastu tinggal satu, sekarang 11 tahun dah pun anak, semoga dipermudahkan urusan," tambah Syu Yanie.

"Aku la hasil vanishing twin tu, akak cakap aku dulu patutnya ada kembar tapi somehow hilang macam tu je," jelas queen.lileena.

Walaupun kehilangan itu pasti dirasai, kisah Bella Park mengingatkan bahawa setiap kehamilan membawa ujian dan hikmah berbeza.

VTS bukan sesuatu yang asing, namun kisah seumpama ini wajar menjadi ruang untuk meningkatkan kesedaran bahawa setiap detik kehidupan dalam rahim adalah anugerah yang wajar disyukuri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram