'Tak bagi kerja, kena makan makanan sihat', anak autisme pempengaruh 'berleter' lepas tahu ibu hamil, 10 tahun tunggu nak adik


  • Bonda
  • Selasa, 07 Okt 2025

Berita kehamilan itu menjadi keterujaan buat anak Bella Park yang sudah lama menanti seorang adik. — Instagram/@bellapark12

KANAK-KANAK dalam spektrum autisme sering dikenali dengan kejujuran dan ketulusan tutur kata. Kadangkala mengundang tawa kepada orang sekeliling dengan keletah mereka yang mencuit hati.

Itu dialami oleh pempengaruh dan usahawan, Bella Park apabila anak lelakinya berusia 10 tahun memberi reaksi spontan selepas mengetahui beliau kini sedang hamil.

Dalam video yang dikongsi di platform Threads, pemilik nama Nurul Nabila Zolkepli itu sebenarnya membuat kejutan kepada anaknya dengan memberi sebuah bekas kecil berisi alat ujian kehamilan dan gambar imbasan kehamilan.

BACA LAGI: [VIDEO] Siang meja komputer, malam 'transform' jadi meja makan, perabot '2 in 1' ideal untuk rumah ruang terhad

BACA LAGI: 'Labur' RM20,000, lepas 3 bulan cabut lari, Syed Saddiq cadang pengecualian cukai baharu bagi keluarga muda menggaji pembantu rumah

Sebaik membuka bekas itu, anaknya yang mesra disapa Nenel kelihatan teruja sebelum bertanya sama ada ibunya benar-benar hamil.

Melihat pengesahan Bella, kanak-kanak itu terharu lalu memeluk ibunya sambil menzahirkan kegembiraan.

"Saya sangat gembira. Saya memang dah lama nak adik lelaki," kata anaknya dalam video tersebut.

Lebih menyentuh hati, kehamilan tersebut merupakan penantian Bella selepas 10 tahun menunggu untuk menimang cahaya mata kedua.

Selepas itu, suasana menjadi lebih menghiburkan apabila Nenel mula 'berleter' memberi pelbagai nasihat kepada ibunya.

Antara nasihat yang dititipkan adalah beliau tidak mahu Bella bekerja terlalu kuat dan menjaga pemakanan sepanjang tempoh kehamilan.

"Rasa rugi pula sebab tak sempat rakam sampai habis dia membebel. Antara yang dia cakap, jangan kerja dulu, kena makan makanan sihat dan yang paling kelakar, dia siap minta nak potong tali pusat nanti," kongsi Bella.

Menurutnya lagi, anak-anak autisme sememangnya terkenal dengan kejujuran dan ketulusan dalam menyampaikan apa yang mereka rasa.

"Mereka jenis cakap terus, tak berpura-pura. Tapi itulah yang buat hati tersentuh, sebab semuanya datang daripada keikhlasan. Moga ALLAH pelihara semua anak istimewa ini. Amin," katanya.

Pada masa sama, Bella turut menitipkan doa buat pasangan yang masih menantikan rezeki zuriat.

"Dari hati Kak Bella sendiri, saya doakan semua yang sedang TTC (trying to conceive) akan dikurniakan zuriat secepat mungkin. Amin," ujarnya.

Sekadar info, anak kelahiran Kedah itu pernah melalui fasa perkahwinan pertamanya, namun berpisah.

Hasil perkahwinan itu, beliau dikurniakan seorang anak lelaki bernama Nenel kini berusia 10 tahun.

Pada Februari 2025, Bella sekali lagi membuka lembaran baharu dalam kehidupannya apabila sah bergelar isteri kepada Haikal Anuar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram