KEBELAKANGAN ini, pelbagai kes melibatkan pelajar sekolah menengah membawa telefon bimbit, rokok elektronik (vape) semakin kerap dikesan melalui pemeriksaan mengejut pihak sekolah.
Situasi itu secara tidak langsung menjadi cerminan terhadap isu disiplin dan salah laku pelajar generasi hari ini yang kian merudum hari demi hari.
Namun, di sebalik perkara itu, perkongsian tular di laman sosial baru-baru ini memberi kelegaan kepada warga pendidik ekoran sikap rasional seorang ibu cukup tenang usai anaknya didapati melanggar peraturan sekolah.
BACA LAGI: 'Zaman sekarang perempuan serba boleh', ibu dorong anak ceburi sukan motocross seawal usia 5 tahun
Ia susulan pemeriksaan mengejut pengetua di sebuah sekolah menengah, seorang pelajar lelaki ditahan kerana menyimpan vape, telefon bimbit dan power bank di dalam beg.
Pemeriksaan itu juga mendedahkan kesalahan kecil lain seperti potongan gaya rambut tidak mengikut peraturan.
Walaupun kejadian sebegini sering menimbulkan ketegangan antara pihak sekolah dan ibu bapa, reaksi ibu murid berkenaan amat berbeza.
Apabila dihubungi oleh guru disiplin, beliau bukan sahaja tidak mempertikaikan tindakan sekolah, malah menyerahkan sepenuhnya kepada pihak pentadbiran untuk mengambil tindakan sewajarnya.
"Eloklah cikgu rampas telefonnya tu, cikgu simpan je, biarkan dia.
"Tak apa cikgu, rotan saja, err, rambut dia cikgu tengok? Bagus cikgu, buat saja apa nak buat," kongsi Abdul Muiez di Facebook.
Reaksi itu walaupun ringkas, cukup besar maknanya sebagai satu bentuk sokongan moral kepada pendidik dan mesej jelas kepada anak bahawa sekolah merupakan sebuah institusi pembentukan keperibadian.
Perkongsian tersebut menggambarkan bahawa peranan ibu bapa amat penting dalam menegakkan disiplin di sekolah.
Di laman sosial, rata-rata guru hari ini mengakui cabaran paling besar kini bukan lagi menangani pelajar, tetapi berdepan dengan ibu bapa yang terlampau melindungi anak dan lantang menolak hukuman pihak sekolah.
Sikap seperti ibu murid berkenaan yang memberi kepercayaan dan kuasa kepada guru sepatutnya dijadikan contoh agar disiplin pelajar dapat dibentuk bermula dari peringkat akar umbi sekolah.
Dalam mendidik generasi muda, ketegasan tidak seharusnya dilihat sebagai kekerasan dan kasih sayang pula bukan bermaksud perlu dimanjakan.
Paling utama ialah keseimbangan antara tegas dan adil kerana dengan kerjasama erat antara ibu bapa serta pihak sekolah, nescaya ia dapat melahirkan anak bangsa yang berjaya kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
