Minyak wangi, pencuci pakaian risiko jejas hormon, kesuburan, pakar nasihat pasangan TTC lebih hati-hati!


  • Bonda
  • Selasa, 21 Okt 2025

Bahan kimia dalam pewangi boleh menjadi punca tersembunyi gangguan hormon bagi lelaki dan wanita. — Gambar hiasan

RATA-RATA individu tidak pernah terfikir bahawa semburan minyak wangi setiap hari boleh memberi kesan terhadap kesihatan hormon dan kesuburan.

Bagaimanapun Pakar Fertiliti dan Ginekologi, Dr. Salleha Khalid berkata, bahan kimia dalam pewangi seperti phthalates dan parabens boleh menjadi punca tersembunyi gangguan hormon bagi lelaki dan wanita, terutama mereka yang sedang berusaha mendapatkan zuriat.

Menurutnya, kebanyakan individu tidak berfikir panjang ketika menyembur minyak wangi setiap hari.

BACA LAGI: Elak guna 'essential oil' sebagai rawatan alternatif untuk kanak-kanak, berisiko jejas tumbesaran si kecil

BACA LAGI: [VIDEO] Sempat jumpa Faisal Halim, abang hadiahkan telefon pintar sebelum meninggal dunia pada tarikh lahir adik

"Bagi pasangan yang berusaha untuk hamil atau Trying-To-Conceive (TTC), fokus utama biasanya tertumpu pada diet, berat badan dan rawatan kesuburan.

"Namun penggunaan harian produk beraroma seperti minyak wangi, losen, pelembut pakaian dan pewangi rumah juga wajar diberi perhatian kerana ia berpotensi mengganggu keseimbangan hormon tubuh," katanya seperti yang dikongsikan di laman web rasmi Pusat Pakar Kesuburan Sophea Bangi.

Dr. Salleha menambah, phthalates digunakan secara meluas dalam minyak wangi bagi memanjangkan ketahanan bau dan membantu bahan melekat lebih lama pada kulit atau fabrik.

Jelas beliau, pendedahan berlebihan terhadap bahan tersebut dikaitkan dengan beberapa kesan negatif terhadap sistem hormon.

"Ia termasuk gangguan kitaran haid wanita, penurunan kualiti dan jumlah sperma.

"Selain itu, ia akan mengakibatkan ketidakseimbangan hormon estrogen dan testosteron serta risiko gangguan ovulasi atau penghasilan sperma," katanya.

Asian housewife wash clothes happilyat home

Produk cucian rumah digunakan setiap hari juga mendedahkan manusia kepada bahan phthalate. — Gambar hiasan

Dr. Salleha berkata, kajian diterbitkan dalam Environmental Health Perspectives (2012) menunjukkan, pendedahan tinggi pada phthalates dikaitkan dengan tahap testosteron lebih rendah dalam lelaki dan wanita dewasa.

Sementara itu, kajian Fertility and Sterility (2015) pula mendapati, wanita dengan tahap phthalates tinggi dalam urin mengalami penurunan kadar kejayaan rawatan kaedah persenyawaan in vitro (IVF).

"Pendedahan terhadap bahan ini bukan sahaja datang daripada minyak wangi, tetapi produk penjagaan diri, pewangi udara dan produk cucian rumah yang digunakan setiap hari," ujarnya.

Dr. Salleha dalam pada itu menyarankan agar pengguna lebih bijak dan selektif dalam memilih produk beraroma.

Antara langkah disyorkan termasuk penggunaan produk tanpa pewangi sintetik berlabel phthalate-free atau ragrance-free'.

"Individu juga mesti kurangkan semburan terus pada kulit dan elakkan pelembut fabrik berbau kuat.

"Gunakan minyak pati semula jadi sebagai alternatif namun dengan berhati-hati.

“Penggunaan minyak wangi sekali-sekala tidak berbahaya, tetapi jika digabung dengan banyak produk berpewangi lain setiap hari, pendedahan kumulatif tersebut boleh memberi kesan pada hormon,” jelasnya.

Menurut Dr. Salleha lagi, hormon adalah sistem yang sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran.

Kongsi beliau, hormon yang seimbang penting untuk memastikan ovulasi normal, sperma sihat dan keseimbangan estrogen-progesteron.

“Kalau anda TTC, tak perlu panik tapi perlu ambil peduli. Kadang-kadang kita terlalu fokus pada rawatan besar sampai terlupa benda kecil dalam rutin harian pun boleh beri impak besar,” katanya.

Beliau menasihatkan pasangan yang sedang berusaha untuk hamil agar menilai semula produk harian mereka dan mempertimbangkan alternatif lebih mesra hormon.

“Mungkin langkah kecil seperti menukar minyak wangi atau pelembut pakaian adalah permulaan kepada impian besar untuk menimang cahaya mata,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram