[VIDEO] Sungguh 'kaya' keluarga kecil ini, 2 anak sukar tahan emosi jumpa ayah bawa lori 'otw' ke Kuantan


  • Bonda
  • Ahad, 19 Okt 2025

Tangkap layar dari kisah menyentuh hati yang dikongsikan di laman TikTok baru-baru ini.

SUDAH menjadi lumrah seorang bapa untuk mengorbankan masa bersama anak-anak demi mencari rezeki meskipun tahu waktu di luar rumah itu amat besar nilainya.

Bagaimanapun, usaha dicurahkan itu akan jadi bermakna sekiranya ketua keluarga itu dapat mendengar keceriaan si kecil setiap kali pulang mahupun jika bertemu di tempat kerja.

Itulah hal dialami seorang pemandu lori yang sempat berhenti di tepi jalan untuk bertemu keluarga ketika dalam perjalanan ke Beserah dekat Kuantan, Pahang.

BACA LAGI: Bapa 5 anak kongsi kebaikan hidup menyewa, keluarga lebih bersederhana, sentiasa bersyukur

BACA LAGI: ‘She’s there’, Adam Shamil hargai pengorbanan nenek, penyokong terbesar dalam hidup

Kisah menyentuh hati tersebut dikongsikan di akaun TikTok Dila Fauzi dengan pemilik laman tersebut difahamkan tinggal sekitar Terengganu melihat kepada hantaran terdahulu.

Video itu bermula dengan anak kecil melambai-lambai setelah ternampak lori dipandu ayahnya melalui jalan berkenaan dengan keriangan jelas kedengaran.

Selepas itu, rakaman sama memaparkan seorang lagi anak gagal menahan sebak sebelum mengesat air mata yang mungkin gugur akibat kerinduan terhadap bapanya.

"Hari Rabu kelmarin, ayahnya akan bekerja lima hari tanpa cuti. Kebetulan, ayah lalu jalan di hadapan ini ketika dalam perjalanan ke Beserah, sempat curi-curi jumpa di tepi jalan.

Pemandu lori itu difahamkan sedang dalam perjalanan ke Beserah di Kuantan.

"Ibu parkir kereta di tepi jalan, mereka tak tahu kalau ayah nak jumpa sebenar, sibuklah tanya kenapa berhenti. Selepas sudah jumpa ayahnya, gugur air mata kakak," tulisnya.

Video itu turut memaparkan ketua keluarga itu sempat mengusap pipi anak perempuannya sebelum memujuknya agar tidak lagi menangis.

Karier sebagai pemandu lori sememangnya memaksa seseorang untuk meninggalkan rumah untuk tempoh panjang, lebih-lebih lagi sekiranya destinasi mahu dituju amat jauh.

Meskipun ahli keluarga sudah memahami pengorbanan sedemikian, kerinduan menggunung terutamanya dalam kalangan anak-anak akan menyebabkan kisah seperti ditunjukkan dalam video itu berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram