[VIDEO] Sempat jumpa Faisal Halim, abang hadiahkan telefon pintar sebelum meninggal dunia pada tarikh lahir adik


  • Cinta
  • Selasa, 21 Okt 2025

Aksi Aidil Haziq ketika menerima hadiah pemberian daripada Allahyarham Muhammad Zafran Hadi (baju hitam) pada Khamis lalu.

SEORANG remaja sempat menghadiahkan telefon pintar kepada adiknya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada Selasa.

Kisah menyayat hati itu dikongsikan menerusi satu hantaran di TikTok akaun zfrn_had18 pada Isnin.

Remaja berkenaan, Allahyarham Muhammad Zafran Hadi Mohd Fitrahaizul, 18, sebelum ini disahkan menghidap kanser tulang pada 18 Mac 2023.

BACA LAGI: Keluarga mesti sentiasa bersatu, adik kongsi kisah abang berubah jadi penyayang lepas kematian ibu walau pernah bertumbuk

BACA LAGI: Bertarung nyawa lawan kanser tulang rawan, isteri Cikgu Din meninggal dunia

Dalam hantaran tersebut, Muhammad Zafran Hadi dikenali sebagai seorang yang sangat rapat dengan adiknya, Aidil Haziq.

“Esok 21 Oktober (Selasa), hari lahir Aidil Haziq, satu-satunya adik lelaki Zafran.

"Selepas mama dan abah, Aidil lah yang paling banyak teman dan jaga abang.

"Geng tidur abang, sembang pasal bola, main permainan video, geng segalanya,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Muhammad Zafran Hadi disahkan meninggal dunia pada pukul 1.45 pagi, Selasa.

Difahamkan, tahun ini arwah berhasrat menghadiahkan Aidil telefon baharu sebagai tanda kasih buat adik yang sentiasa di sisi tanpa pernah berkira, malah menjadi teman setia sepanjang perjuangan melawan penyakit.

“Abang selalu sebut, abang sayang Aidil dan semua adik-adik.

"Selamat hari jadi Aidil Haziq, terima kasih kerana sentiasa jadi adik yang kuat, penyayang dan setia dengan abang.

"Abang sayang Aidil sangat-sangat,” demikian coretan terakhir di media sosial remaja berkenaan.

Namun, takdir menentukan segalanya apabila Muhammad Zafran Hadi menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.45 pagi, Selasa.

“Dengan penuh dukacita dan reda terhadap ketentuan Ilahi, kami memaklumkan bahawa Muhammad Zafran Hadi Mohd Fitrahaizul telah kembali ke rahmatullah pada hari ini,” menurut kenyataan keluarga itu.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang, Selangor selepas solat Zuhur. 

Untuk makluman, Allahyarham yang sebelum ini pernah bermain bola sepak di bawah Program Latihan Daerah (PLD) Tunku Ampuan Durah, Negeri Sembilan pada Ahad lalu telah menerima kunjungan bintang Selangor FC, Faisal Halim yang dianggapnya sebagai idola. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram