Ibu bapa ‘bakar’ hingga 3,000 kalori ketika siapkan anak 'tantrum' ke sekolah — Kajian


  • Bonda
  • Selasa, 21 Okt 2025

Ibu bapa boleh membakar sehingga 3,000 kalori setiap pagi ketika menguruskan anak-anak sebelum ke sekolah. — Gambar hiasan

RUTIN pagi yang sibuk menyiapkan anak ke sekolah mungkin kelihatan seperti kerja biasa bagi kebanyakan ibu bapa, namun satu kajian terkini mendapati ia sebenarnya menyamai sesi senaman intensif.

Menurut pakar sains sukan daripada American College of Sports Medicine, ibu bapa boleh membakar hingga 3,000 kalori setiap pagi ketika menguruskan anak-anak sebelum ke sekolah.

Jumlah itu dikatakan hampir sama seperti tenaga yang digunakan ketika berlari maraton.

BACA LAGI: Nak salahkan ibu bapa dan sekolah, jangan lupa kita sendiri terhegeh-hegeh kongsi segala-galanya di media sosial

BACA LAGI: Hasil didikan ibu bapa, usahawan muda bijak susun waktu, urus 6 bisnes sambil belajar

Kajian melibatkan lebih 1,000 keluarga itu mendapati aktiviti harian seperti mendukung anak, memakaikan pakaian, berlari mengejar mereka, menenangkan tantrum (mengamuk) dan berulang-alik di sekitar rumah menyumbang pada pembakaran kalori yang signifikan.

Ketua penyelidik, Profesor Olan Wyche berkata, ramai ibu bapa tidak sedar rutin pagi mereka sebenarnya sangat mencabar secara fizikal dan mental.

“Antara cuba mengejutkan anak bangun tidur, berunding tentang sarapan dan mencari kasut yang hilang, ibu bapa sebenarnya sentiasa bergerak, mengangkat dan bertindak balas.

"Ia memang satu senaman sebenar,” katanya.

Walaupun kajian tersebut dijalankan dalam konteks santai, ia memberi gambaran bahawa tugasan keibubapaan harian melibatkan aktiviti fizikal intensif yang sering dilakukan di bawah tekanan masa.

Pakar turut mengesyorkan agar ibu bapa mengambil sedikit masa untuk berehat jika berpeluang dan kekal terhidrat.

"Mereka juga perlu sedar usaha setiap pagi itu benar-benar dikira sebagai bentuk senaman.

"Justeru, jika sudah tercungap-cungap sebelum pukul 8 pagi, mungkin anda sebenarnya baru sahaja menamatkan ‘workout’ pertama untuk hari tersebut," ujarnya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram