
DI kala kebanyakan pelajar universiti sibuk dengan tugasan dan kuliah, seorang wanita muda tampil berbeza.
Graduan Program Pengajian Pengurusan, Fakulti Ekonomi dan Perniagaan di Universiti Gadjah Mada (UGM), Indonesia, Amanda Divanty mencuri tumpuan selepas berjaya menguruskan enam perniagaan sendiri pada usia muda.
Segalanya bermula apabila Amanda bersama dua rakannya menjalankan perniagaan Porto Photo yang menawarkan perkhidmatan studio foto layan diri dengan gambar berkualiti dan harga berpatutan.
BACA LAGI: Sampai terpaksa jual motor, anak jati Cheras bangkit jayakan bisnes cuci kasut
BACA LAGI: Menantu ajar cara menaip, nenek 90 tahun berjaya genggam ijazah bidang sastera Inggeris
Amanda (kiri) menjalankan perniagaannya bersama beberapa rakan seperjuangan. — Agensi
Menurutnya, bisnes pertamanya itu secara tidak langsung menimbulkan minatnya untuk membuka lebih banyak perniagaan.
Amanda kemudiannya mengorak langkah dengan menubuhkan bisnes kulinari, Cherries Bites yang menjual pelbagai jenis manisan dan kek secara dalam talian.
Bukan itu sahaja, gadis berusia lingkungan 20-an itu turut membuka sebuah restoran, Paspa yang menawarkan hidangan pasta serta kedai menjual makanan sejuk beku, Mentaikudimsum.
Kejayaannya semakin menyerlah apabila Amanda diberi kepercayaan untuk mengendalikan perniagaan menjual susu, aiskrim dan waffle telur di bawah jenama Milkymoo.
Dia pada masa sama turut melancarkan perniagaan baharunya, Pisang Saji berhampiran kawasan kampusnya sejak Januari lalu.
Katanya, minat berniaga dalam dirinya ternyata sudah mula berputik sejak kecil kerana sering melihat ibu bapanya menguruskan perniagaan dalam bidang makanan dan minuman.
"Sejak di bangku sekolah rendah, saya sudah berani mencuba menjual alat tulis, slime dan makanan sejuk beku.
"Daripada suka-suka, akhirnya jadi terbiasa. Saya rasa selesa kerana boleh mengisi masa lapang dengan aktiviti yang mendatangkan hasil.
"Saya percaya kerjasama dalam pasukan dan keserasian rakan niaga antara kunci kejayaan.
"Dari rakan yang tepat, kita belajar banyak perkara. Jika dahulu saya tidak bertemu mereka, mungkin saya tidak sampai ke tahap ini," ujarnya.
Bekerjasama dalam perniagaan antara kunci kejayaan Amanda. — Agensi
Selain memiliki semangat yang tinggi dan tidak mudah berputus asa, Amanda juga bijak mengatur masa antara tugasan akademik dan operasi perniagaan.
Dia menggunakan kaedah membuat senarai to-do-list bagi memastikan setiap tugasan dapat diselesaikan mengikut keutamaan.
"Saya menyusun aktiviti berdasarkan keutamaan dan melaksanakannya satu demi satu," jelasnya.
Amanda turut menzahirkan rasa syukur atas sokongan besar daripada keluarga, rakan-rakan serta pihak universitiinya yang banyak membantu dalam pengurusan perniagaan.
Malah, rakan-rakannya menilai Amanda sebagai seorang individu yang bersemangat tinggi dan sentiasa memberikan sokongan kepada orang lain.
Bagi Amanda, pelajaran di universiti turut memainkan peranan penting dalam membentuk pemahaman terhadap dunia perniagaan.
"Saya belajar bahawa berniaga bukan sekadar hasilkan produk dan jual.
"Ada banyak aspek lain yang perlu diurus termasuk pengurusan sumber manusia, kewangan dan strategi pemasaran supaya jenama kita dikenali," katanya.
Meskipun menyedari dunia perniagaan penuh cabaran dan ketidakpastian, Amanda berhasrat untuk terus dengan kerjaya sebagai usahawan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat.
"Dengan berniaga, saya dapat memberi sumbangan kepada masyarakat dan membantu orang lain memperoleh pekerjaan.
"Kumpulkan maklumat sebanyak mungkin tentang bidang yang ingin diceburi.
"Ingat, kesempurnaan tidak perlu dicapai sejak awal. Terus belajar dan perbaiki diri seiring waktu.
"Jangan terlalu peduli dengan kata orang. Jika anda mahu pergi lebih jauh, lakukannya secara bersama-sama," kongsinya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram