
DUNIA perniagaan sering kali bermula daripada sekadar minat kecil yang berkembang menjadi sumber rezeki tidak terjangka.
Dari bekerja makan gaji selama 15 tahun, Teranjit Kaur Mohinder Singh, 57, aktif menyusun langkah sebagai usahawan manisan tradisional India sejak 23 tahun lalu.
Matlamatnya jelas, ingin memperkenalkan manisan India yang mesra Muslim dan sesuai dinikmati semua kaum, bukan sahaja di Malaysia malah hingga ke luar negara.
BACA LAGI: Kreativiti 2 wanita muda diiktiraf, cipta alat insulin saiz poket, kit ujian kendiri kanser serviks
Teranjit (dua dari kiri) dibantu oleh suami dan anak-anaknya untuk menjalankan perniagaan.
“Saya mula berniaga ketika masih bekerja sepenuh masa di syarikat swasta pada 2002.
"Disebabkan minat berniaga sangat kuat, saya mula masuk dalam dunia bisnes,” katanya ketika ditemui Majoriti, baru-baru ini.
Langkah pertama Teranjit bermula kecil, dengan menyertai jualan di pusat beli-belah sekitar ibu kota, sebelum berkembang kepada pembukaan Restoran Jasal Tandoori di Brickfields, Kuala Lumpur.
Dari situ, perniagaan mereka mula mendapat perhatian ramai.
Ibu kepada tiga cahaya mata itu kemudian mengambil langkah membuka satu lagi cawangan khusus untuk menjual manisan kerana minat yang mendalam terhadap pembuatan sajian tersebut.
Anugerah Restoran Terbaik
Jelas Teranjit, keistimewaan Jesal Sweet House (Jesal Sweet) terletak pada bahan-bahan yang digunakan.
“Kami guna antaranya susu segar, gula, kacang pistachio, kacang gajus dan bahan asas seperti saffron.
"Tiada penggunaan minyak atau bahan haiwan,” ujarnya yang pernah menerima Anugerah Restoran Terbaik selama tiga tahun berturut-turut sebelum terpaksa menghentikan operasi akibat pandemik Covid-19.
Teranjit ingin memperkenalkan manisan India mesra Muslim dan sesuai dinikmati semua kaum.
Dibantu suami, Amar Singh Parshotam Singh, 57, dan anak-anaknya, Jasal Sweets beroperasi melalui gerai pop-up di pusat beli-belah ibu kota.
Selain terkenal dengan laddu, jalebi, barfi, almond candy dan pistachio chocolate, jenama itu turut menawarkan minuman seperti teh masala, mango lassi serta saffron almond milk.
Hidangan tersebut menjadikan setiap gerai mereka lengkap seperti sebuah kedai snek India sebenar.
Berkongsi lanjut, Teranjit kini dalam perancangan untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia bagi memperkenalkan manisan tradisional India versi mesra Muslim sebagai sebahagian tarikan pelancongan budaya negara.
“Ramai kawan Melayu cadangkan sertai Tourism Malaysia sebab manisan kami boleh jadi lambang perpaduan budaya.
"Walaupun ini makanan tradisi India, tapi boleh nikmati semua kaum,” katanya yang membuka gerai pop-up di pusat beli-belah The Curve dan Bangsar Shopping Centre (BSC), Kuala Lumpur hingga 20 Oktober sempena sambutan Deepavali.
Keistimewaan manisan daripada Jesal Sweet ialah terletak pada bahan-bahan yang digunakan.
Sementara itu, bekas eksekutif akaun, Letchumi Devi Chandran, membuktikan keberanian untuk mencuba perkara baharu dengan menawarkan koleksi pakaian linen dan busana tradisional India.
Pengasas jenama Best Buy Beauty Shop (BB collection) itu memulakan perniagaan pada 2018 dengan mengeksport produk kosmetik berjenama ke Singapura, namun terpaksa menghentikan operasi ketika pandemik Covid-19.
Tidak berputus asa, pada 2023, beliau kembali aktif membawa masuk produk linen dari India dan berniaga di pusat beli-belah serta bazar tempatan.
Walaupun busana tradisional seperti sari menjadi produk utama jualannya, pelanggan sebenarnya datang daripada pelbagai kaum.
Letchumi (kanan) bersama suami (kiri) dan anak tunggal mereka.
Menurut Letchumi, 51, beliau pada awalnya berasa ragu-ragu untuk membuka jualan di sebuah pusat beli-belah pada 2023, disebabkan lokasi itu bukan kawasan tumpuan pelanggan berbangsa India.
Namun akuinya, tanggapan itu meleset apabila sambutan daripada pelanggan Melayu dan Cina amat menggalakkan.
"Saya memang risau pada mulanya sebab tak ramai orang India di pusat beli-belah itu, tapi saya fikir kenapa tak cuba? Sekarang semua kaum pakai, bukan orang India saja.
"Percubaan menjadi dan koleksi pakaian yang dibawa sempena Deepavali tahun lalu habis terjual dalam masa tiga hari sahaja.
"Sambutan meriah ini berpunca daripada suasana perayaan yang mendorong ramai pekerja di syarikat dan pejabat untuk mencari pakaian tradisional bagi meraikan Deepavali, sama seperti sambutan hari raya atau Tahun Baharu Cina," bicaranya.
Antara rekaan sari yang dijual Letchumi.
Wanita berasal dari Negeri Sembilan itu menjelaskan, rekaan seperti sut Punjabi sering digayakan bersama seluar lebar potongan palazo.
Ia katanya, untuk disesuaikan dengan cita rasa pelanggan tempatan, termasuk Islam yang mengutamakan keselesaan dan kesopanan.
“Sebab itu saya sentiasa bawa palazo. Ramai pelanggan suka sebab longgar, selesa dan tak terlalu ketat.
"Apabila digayakan dengan selendang, ia nampak cantik dan sopan,” ujarnya yang turut mempromosikan bisnes melalui akaun TikTok lovemysaree. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram