Sunyi hidup sendiri, warga emas berhabis RM 1.1 juta beli barangan 'online', siap sewa pangsapuri hanya untuk simpan timbunan bungkusan


  • Cinta
  • Selasa, 15 Jul 2025

Wanita hidup sunyi sanggup berhabis sebanyak EM1.1 juta demi membeli barangan atas talian.

DEMI mengelakkan orang sekeliling meminjam wang dan mengisi kekosongan hidup, seorang wanita warga emas di Shanghai sanggup membelanjakan hampir dua juta yuan (sekitar RM1.1 juta) untuk membeli barangan atas talian.

Wanita berusia 66 tahun yang dikenali sebagai Wang itu juga sanggup menyewa sebuah unit kediaman khas semata-mata untuk menyimpan semua bungkusan yang belum berusik, selain ruang rumahnya sendiri yang kini sarat dengan timbunan kotak sehingga ke siling.

Tindakan luar biasa itu bukan sahaja tular di media sosial China, malah mencetuskan perbincangan hangat mengenai isu kesihatan mental dalam kalangan warga emas yang tinggal bersendirian.

BACA LAGI: Penapis air RO mudaratkan tubuh, pakar dedah risiko kekurangan mineral penting yang ramai tak sedar

BACA LAGI: Kanak-kanak membesar dalam keadaan serba kekurangan cenderung bawa 5 tabiat ini ke alam dewasa

Wang yang menetap di daerah Jiading, Shanghai mengakui dia ketagih membeli-belah secara atas talian kerana ia memberi keseronokan dan rasa teruja iaitu satu bentuk ‘pelarian emosi’ daripada kesunyian hidupnya.

“Saya sengaja membelanjakan duit supaya orang tak datang pinjam dari saya. Bila mereka tengok rumah saya penuh dengan barang, tentu mereka rasa tak sesuai nak minta tolong,” katanya.

Menurutnya, sejak menjual rumah lamanya di pusat bandar dan berpindah ke kawasan pinggir, ramai menganggap dia mempunyai simpanan yang besar.

Akibat itu, dia mengambil langkah drastik dengan membelanjakan wang secara boros termasuk membeli barangan kosmetik, makanan tambahan dan barang kemas yang kebanyakannya dibeli melalui siaran langsung jualan.

Lebih mengejutkan, selain rumah yang didudukinya, Wang turut menggunakan sebuah garaj bawah tanah miliknya dan menyewa sebuah lagi pangsapuri untuk menyimpan lambakan barangan yang dibeli.

Namun, kebanyakan barang itu masih belum dibuka atau digunakan.

Situasi di rumahnya bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan kepada dirinya, malah mencetuskan rungutan jiran tetangga yang mengadu tentang bau busuk, lalat dan lipas yang sering kelihatan di sekeliling kediamannya.

Pegawai jawatankuasa penduduk setempat mendedahkan bahawa Wang tinggal bersendirian, manakala anak perempuannya menetap di luar negara.

Dia juga jarang berhubungan dengan saudara-mara sehingga menyebabkan dia tidak peroleh sokongan emosi daripada keluarga terdekat.

Cubaan pegawai dan komuniti setempat untuk membantu termasuk menghubungi keluarga dan menjalankan sesi pembersihan rumah bersama Wang pada Mei tahun lalu. 

Namun, tabiat membeli-belah dan menyimpan barang itu tetap berterusan.

Seorang pakar psikiatri dari Pusat Kesihatan Mental Shanghai, Dr. Yan Feng menjelaskan bahawa tabiat menimbun atau hoarding disorder sering kali dikaitkan dengan kemurungan dan keresahan sosial.

“Rawatan untuk gangguan seperti ini memerlukan proses jangka panjang dan sokongan berterusan,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram