Dulu Victoria, suami jual tembikar demi hantar anak belajar balet, kini koleksi MacKenzie-Childs jadi penghias rumah mewah seluruh dunia


  • Sukses
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Victoria (kanan) dan Richard pernah membeli dan tinggal di sebuah feri lama yang diubah suai menjadi rumah dan studio seni terapung. — Agensi

DI sebalik corak berani dan warna-warna eksentrik yang menjadi signatur jenama MacKenzie-Childs, tersimpan kisah cinta sebuah keluarga dan keberanian untuk mencipta luar daripada kebiasaan.

Jenama terkenal dengan rekaan tembikar, perabot dan hiasan rumah penuh warna itu diasaskan pasangan artis berasal dari Amerika Syarikat (AS), Victoria MacKenzie dan Richard Childs, menggabungkan nama keluarga mereka sebagai simbol kesatuan dalam seni serta kehidupan.

Bagi mereka, seni bukan sekadar pekerjaan, ia adalah cara hidup.

BACA LAGI: Intan Najuwa 'unboxing' perkakas dapur, warga maya teruja, siap 'selidik' harga 1 teko cecah lebih RM1,000

BACA LAGI: 'It suits her well', interior industrial moden banglo 2 tingkat refleksi personaliti Daiyan Trisha

“Saya sedang duduk di studio kecil dan membuat mangkuk untuk rebusan yang dipanggil chowder.

"Saya tidak pernah membuatnya, malah tidak pernah melihat bentuk tersebut sebelum ini.

"Tiba-tiba pelbagai idea datang bertalu-talu tanpa kawalan. Pelbagai corak dan hiasan muncul satu demi satu, seolah-olah seperti muzik jaz,” ujar Victoria, mengenang detik awal kreativiti yang menjadi pencetus pada perjalanan mereka.

Victoria sehingga kini masih aktif berkongsi karyanya di media sosial. — Agensi

Victoria dilahirkan di San Francisco, California manakala Richard berasal dari Massachusetts.

Pertemuan mereka di Alfred University pada pertengahan 1970-an menjadi titik mula kepada satu kerjasama yang mengubah landskap seni dekoratif moden.

Kedua-duanya ketika itu sedang melanjutkan pengajian dalam bidang seni arca seramik, namun kecewa dengan dunia seni yang terlalu sarat dengan politik dan jauh daripada nilai keikhlasan.

“Ia tidak idealistik seperti kami bayangkan. Dunia seni rupa lebih banyak dipengaruhi politik berbanding keikhlasan seni itu sendiri,” ujarnya yang masih aktif berkongsi karyanya di laman Instagram, victoriamackenziechilds.

Selepas menamatkan pengajian, pasangan itu berpindah ke United Kingdom (UK), bekerja di bengkel tembikar selama beberapa tahun sebelum kembali ke New York.

Richard kemudian mengambil kerja sambilan di Wells College, Aurora, sementara Victoria terus bereksperimentasi dengan rekaan tembikar di rumah mereka.

Namun, benih kepada lahirnya MacKenzie-Childs sebenarnya bermula dengan kasih sayang ibu dan bapa terhadap anak mereka, Heather Chaplet.

Antara rekaan MacKenzie-Childs yang menjadi pilihan pemilik rumah mewah. — Agensi

Heather ketika itu ingin melanjutkan pelajaran ke sekolah balet di luar negara, tetapi keluarga mereka tidak mampu menanggung kos perjalanan tersebut.

Gadis kecil itu berusaha menjual raspberi bagi mengumpul dana, namun wang yang diperoleh hanya cukup untuk ke England, bukan untuk pulang.

Demi membawa pulang anak mereka, Victoria dan Richard mengambil keputusan menjual hasil tembikar dan karya seni mereka.

Tidak disangka, langkah kecil itu menjadi permulaan kepada perniagaan yang kini dikenali di seluruh dunia.

“Ketika Heather masih kecil, beliau tidak pernah risau tentang apa yang dilakukan.

"Beliau tidak terikat pada sebarang formula, namun seorang yang sangat teratur dalam pekerjaannya.

"Saya mula berfikir sepertinya, sama ada ketika mendandan rambut, membakar kek, membuat pasu atau mencangkul di kebun, saya akan anggap semuanya sebagai permainan.

"Kerja kemudian menjadi satu keseronokan dan keseronokan saya adalah kerja saya,” ujar Victoria.

Pasangan itu percaya seni harus memberi rasa selesa, kegembiraan dan mencetuskan perbualan, bukan sekadar hiasan semata-mata. — Agensi

Bagi pasangan yang pernah membeli dan tinggal di sebuah feri lama yang diubah suai menjadi rumah dan studio seni terapung itu, Heather bukan sekadar inspirasi, tetapi juga cerminan semangat kebebasan dan ekspresi diri yang mereka terapkan dalam setiap rekaan.

Mereka percaya seni harus memberi rasa selesa, kegembiraan dan mencetuskan perbualan, bukan sekadar hiasan semata-mata.

Kini, setelah puluhan tahun berlalu, MacKenzie-Childs bukan lagi sekadar jenama, ia menjadi simbol kebebasan kreatif dan keaslian.

Dari studio kecil di New York, karya mereka kini menghiasi rumah-rumah mewah di seluruh dunia.

Heather menceburi dunia seni dengan kini bekerja sebagai pereka tekstik organik. — Agensi

Namun falsafah asal tetap sama, iaitu seni yang lahir daripada kasih sayang, keberanian dan semangat untuk bermain dengan kehidupan.

“Kreativiti bukan hanya dalam bentuk, ia adalah cara kita hidup, mencintai dan melihat dunia,” pesan beliau.

Persis kedua ibu bapanya, Heather menceburi dunia seni dengan kini bekerja sebagai pereka tekstik organik dan menjalankan jenama fesyen yang dipanggil Xoomba, berpusat di Burkina Faso.

Projeknya memfokuskan pada pembukaan peluang industri tekstil yang adil (fair trade), penggunaan kapas organik dan pewarna yang mesra alam.

Beliau mencipta karya fesyen untuk lelaki, wanita dan kanak-kanak termasuk barangan bayi. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram