
BERBAKI dua bulan sahaja lagi sebelum melangkah ke alam perkahwinan, seorang wanita meluahkan kekecewaan selepas mendakwa dirinya dipukul tunang sendiri selepas berlaku pertengkaran antara mereka baru-baru ini.
Luahan itu dikongsikan wanita berkenaan menerusi platform Threads, pada Ahad.
“Saya dengan tunang dah lima tahun bersama, tapi dua hari lepas kami gaduh sampai dia tumbuk muka dan tendang perut saya.
“Saya hilang arah sangat sekarang. Dia cakap tak sengaja tapi hati saya...,” tulisnya.
BACA LAGI: Wanita hilang sejak 1962 ditemui hidup, menghilangkan diri akibat tidak tahan didera suami
BACA LAGI: Wanita didera cenderung terlibat masalah sosial — Khairy
Perkongsian tersebut segera menarik perhatian ramai pengguna media sosial yang membanjiri ruangan komen dengan menggesa wanita itu agar tidak meneruskan perkahwinan dirancang.
Antaranya termasuk seorang pengamal perubatan dikenali sebagai Dr. Schasha di media sosialnya, berkongsi pengalaman merawat mangsa keganasan rumah tangga sepanjang karier.
“Sepanjang beberapa tahun bertugas sebagai doktor perubatan am, saya memeriksa ramai wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
"Ia tidak pernah berakhir dengan baik dan apabila ada anak-anak terlibat, mereka juga turut menjadi mangsa penderaan.
"Pesakit saya yang terbaru telah didera selama enam tahun. Kini telinganya mengalami kerosakan kekal (berdesing) kerana suaminya gemar memukul bahagian kepalanya," kongsinya.
Tegas beliau, insiden itu merupakan petanda jelas bahawa wanita berkenaan perlu meninggalkan hubungan tersebut.
"Lelaki yang pernah memukul tidak akan berubah. Jangan putus semangat, bangkit! Wanita kena kuat, pertahankan diri. Tinggalkan dia,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna, hesuselayangpandang turut menasihati agar wanita berkenaan tidak meneruskan perkahwinan yang bakal membawa lebih banyak derita.
“Ya ALLAH, ini adalah petanda lelaki ini dan keluarganya merupakan amaran besar.
"Tolong jangan teruskan perkahwinan ini, bincang dengan keluarga. Bakal ibu mentua awak juga sangat merisaukan,” katanya.
Tidak terkecuali, beberapa selebriti tampil memberi sokongan moral antaranya pelakon Catriona Brian Ross.
Jelas beliau, jika wanita itu memilih untuk terus bersama pasangannya, beliau akan menjadi tempat lelaki tersebut melepaskan kemarahan selama-lamanya.
"Selamatkan diri awak sekarang sebelum hidup jadi seperti bola yang ditendang sesuka hati," pesannya.
“Run, literally. I’ve got photos but girl, run as fast as you can,” kata penyanyi Shila Amzah pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram