Graduan dari keluarga susah lega, bantuan one-off RM1,000 bantu langkah pertama cari rezeki jauh


  • Sukses
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Bagi ramai lepasan universiti, cabaran utama sebelum melapor diri ke tempat kerja ialah kos tinggi melibatkan deposit rumah sewa dan sebagainya. — Gambar janaan AI

KERAJAAN menerusi pembentangan Belanjawan MADANI 2026 pada Jumaat mengumumkan peruntukan sebanyak RM1,000 kepada graduan baharu yang perlu berpindah untuk memulakan kerjaya.

Langkah itu dilihat sebagai inisiatif penting bagi meringankan beban graduan daripada keluarga berpendapatan rendah yang sering berdepan kekangan kewangan untuk memulakan kehidupan bekerja di lokasi baharu.

Bagi ramai lepasan universiti, cabaran utama sebelum melapor diri ke tempat kerja ialah kos tinggi melibatkan deposit rumah sewa, pengangkutan, barangan keperluan asas dan perbelanjaan makan minum sebelum menerima gaji pertama.

BACA LAGI: Umur kelayakan i-Suri naik kepada 60 tahun, pencari kerja, graduan dapat tawaran kerja bakal nikmati insentif pindah hingga RM1,000

BACA LAGI: Akui sukar cari kerja, graduan seni reka grafik tak kisah jual keutiau goreng, biskut ais jem mini

Akibatnya, tidak sedikit yang terpaksa menolak tawaran kerja di luar negeri atau kawasan asal mereka.

Antaranya pengguna Threads dengan nama akaun nuratiqah9339, berkongsi pengalaman tentang kesusahan yang pernah dialami sewaktu mula bekerja.

"Saya berharap PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah menjadi perdana menteri ketika zaman saya baru menamatkan pengajian dulu.

"Kita orang kampung saja, nak keluar merantau cari kerja ke negeri orang, banyak betul modal nak guna masa itu.

"Deposit bilik sewa, pengangkutan, makan minum untuk sebulan (tunggu gaji), pakaian pejabat yang sesuai," tulisnya pada Sabtu.

Langkah itu dilihat sebagai inisiatif penting bagi meringankan beban graduan daripada keluarga berpendapatan rendah.

Ujarnya, keadaan itu memaksanya meminjam dari pelbagai pihak bagi mencukupkan modal untuk merantau.

Malah gaji pertamanya juga habis digunakan untuk membayar hutang.

"Alhamdulillah, harapnya adik-adik sekarang tak perlu rasa susah yang sebegitu dah,” katanya.

Sementara itu, shzwnfrzna_ turut menyuarakan keterujaan terhadap inisiatif berkenaan yang disifatkan sebagai permulaan baik untuk graduan muda.

“Saya gembira dengan bantuan one-off kerajaan untuk fresh grad yang dapat kerja jauh dari tempat tinggal. Dapat RM1,000 untuk permulaan, okeylah tu kan?

"Saya dulu pun masa kawan-kawan lain dah mula kerja di Kuala Lumpur, Selangor, mereka tiada masalah sebab ditaja ibu bapa.

"Saya pula pilih kerja dekat rumah sebab nak kumpul duit untuk pindah nanti,” ceritanya.

Turut senada, ilyasaimann menyifatkan inisiatif itu bukan sahaja membantu golongan muda memulakan langkah pertama dalam kerjaya, malah menjadi simbol keprihatinan kerajaan terhadap cabaran sebenar dihadapi mahasiswa selepas menamatkan pengajian.

"Saya pernah berpindah dari Kedah ke Kuala Lumpur untuk bekerja sejurus tamat pengajian.

"Saya bernasib baik kerana keluarga masih mampu menyokong, namun tidak semua orang mempunyai nasib yang sama," akuinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram