Sering teman ibu jalani misi kemanusiaan dorong aktivis ubah sisa jadi sumber rezeki wanita miskin


  • Sukses
  • Jumaat, 10 Okt 2025

Fernandez-Ruiz komited untuk memberi impak sosial yang positif dan berharap Rags2Riches akan menjadi contoh kepada lebih banyak organisasi pada masa depan. — Agensi

KIRA-KIRA 17 tahun lalu, komuniti di Payatas, Quezon City, Filipina bergantung pada pembuatan alas kaki daripada retaso (kain lebihan) untuk mencari rezeki.

Mereka menghabiskan berjam-jam setiap hari menenun kain tersebut dengan penuh ketelitian di rumah usang masing-masing.

Namun, kerana tiada akses terus pada bekalan bahan mentah dan pasaran, mereka hanya dianggap bernasib baik jika memperoleh antara 10 hingga 16 peso sehari selepas seharian bekerja keras.

BACA LAGI: Diuji susah menetap di setinggan, Afidah Kamaruddin titip pesan, wanita jangan gentar berdiri di kerusi kepimpinan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ikat' perut, tumpang bilik kecil di rumah keluarga ketika bisnes merudum, kini Caryn Law personaliti e-dagang berjaya

Ketidakadilan sosial inilah yang mendorong pengasas Rags2Riches (R2R), Reese Fernandez-Ruiz menubuhkan rumah fesyen dan rekaan bertujuan menyelesaikan masalah sistemik itu melalui penyelesaian jangka panjang.

Didorong pengalaman hidup yang dekat dengan kemiskinan sejak kecil juga, Fernandez-Ruiz yang juga aktivis sosial bantu mengubah nasib wanita miskin di Payatas.

Segalanya bermula ketika Fernandez-Ruiz sering menemani ibunya menjalankan kerja misi kemanusiaan.

Pendedahan awal itu membentuk tekadnya untuk membantu golongan susah.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Ateneo de Manila, beliau mula mengajar di kawasan Payatas, iaitu antara penempatan termiskin di Quezon City.

Di situlah beliau menyaksikan sendiri kehidupan wanita yang mencari cebisan kain dan bahan buangan di tapak pelupusan sampah untuk dijadikan permaidani.

"Walaupun hasil kerja tangan mereka menjadi sumber rezeki, kebanyakan wanita ini dieksploitasi oleh orang tengah yang mengaut untung besar, sedangkan mereka hanya memperoleh kira-kira 20 sen sehari," katanya.

Fernandez-Ruiz berhasrat memperluas operasi bagi menyediakan pekerjaan kepada sehingga 5,000 artisan Filipina.

Bertitik tolak daripada itu, Fernandez-Ruiz pada 2007 menubuhkan R2R, sebuah syarikat sosial yang menjual produk kitar semula seperti beg tangan, pakaian dan aksesori rumah yang dihasilkan oleh komuniti artisan dari Payatas.

“Kami mula menggunakan kain lebihan secara kebetulan. Kemudian kami sedar, daripada sekadar menggunakan kain terbuang secara tidak sengaja, kami patut menggunakannya dengan tujuan.

"Ada yang menganggap penggunaan kain sisa lebih murah berbanding kain baharu.

"Hakikatnya, kain kitar semula boleh menjadi lebih mahal dan memakan masa kerana ia memerlukan banyak usaha rekaan untuk memanfaatkan tekstil yang rosak, berubah warna dan tidak menentu dari segi kuantiti,” jelas beliau.

Kini, R2R mempunyai enam kedai di sekitar Manila dan operasi dalam talian yang berkembang pesat.

Syarikat itu menggaji lebih 250 pekerja, termasuk 200 artisan sepenuh dan separuh masa, yang kini mampu bekerja dari rumah sambil menjaga keluarga.

Namun bagi Fernandez-Ruiz, misi R2R bukan sekadar tentang menjana pendapatan.

“Apabila melihat hasil kerja tangan menjadi popular, ia bukan sekadar untuk menambah pendapatan, tetapi juga menaikkan semangat dan rasa mereka diri dihargai,” ujar penerima anugerah Rolex Laureate itu.

Walau bagaimanapun, usaha memperkenalkan produk tempatan buatan tangan bukanlah mudah.

Fernandez-Ruiz perlu meyakinkan bukan sahaja para artisan, tetapi juga pengguna dan peruncit Filipina yang lebih mengutamakan jenama antarabangsa.

Didorong pengalaman hidup yang dekat dengan kemiskinan sejak kecil menyebabkan Fernandez-Ruiz bantu mengubah nasib wanita miskin di Payatas.

Persepsi itu mula berubah apabila R2R bekerjasama dengan pereka fesyen terkemuka seperti Rajo Laurel dan Amina Aranaz-Alunan, yang bertindak sebagai duta jenama dan menyumbangkan rekaan eksklusif.

Kerjasama itu melonjakkan nama R2R sebagai jenama fesyen berkualiti tinggi dengan sentuhan sosial.

“Masih wujud tanggapan bahawa barangan buatan tangan tidak secantik atau tidak berkualiti seperti jenama import terkenal.

“Namun dengan bantuan pereka seperti Rajo, masyarakat kini sedar bahawa produk ini sebenarnya berkualiti tinggi dan dihasilkan oleh individu dengan kisah luar biasa,” ujarnya.

Fernandez-Ruiz berhasrat memperluas operasi bagi menyediakan pekerjaan kepada sehingga 5,000 artisan Filipina.

Namun, beliau mengakui bahawa skala pertumbuhan itu memerlukan pengurusan lebih berpengalaman dan modal pelaburan baharu.

“Ketika memulakan projek ini, saya tiada pengalaman pengurusan mahupun pelan yang jelas.

“Banyak kesilapan berlaku sepanjang jalan. Kini keutamaan adalah membawa R2R ke tahap seterusnya dan mungkin kita perlukan pengurus dengan pendekatan berbeza.

“Saya komited untuk memberi impak sosial yang positif dan berharap Rags2Riches akan menjadi contoh kepada lebih banyak organisasi pada masa depan,” ujarnya penuh harapan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram