
SEBAGAI anak sulung dalam keluarga, tidak sedikit ujian yang perlu dilalui Afidah Kamaruddin, 46.
Baginya, tanggungjawab itu hadir seiring dengan kesedaran bahawa beliau adalah figura rujukan adik-adiknya, sekali gus menjadi tiang seri dalam keluarga.
Kenangan zaman kecilnya bukan dihamparkan dengan kemewahan, sebaliknya penuh dengan dugaan yang membentuk jiwa kental seorang wanita.
Afidah masih ingat, ketika keluarganya berdepan kesempitan hidup, mereka pernah berteduh di kawasan setinggan, betul-betul di sebelah laluan komuter di ibu kota.
"Pada usia saya tujuh tahun, kami berpindah dari Melaka ke Kuala Lumpur.
"Bapa saya bekerja kilang, kemudian bergilir menjadi pengawal keselamatan, pemandu dan juga peniaga kecil. Semua dilakukan semata-mata untuk menyara kami.
"Setiap titik peluh dan langkahnya, menjadi teladan kepada saya tentang erti pengorbanan,” kongsinya kepada Majoriti.
Seawal usia kecil, wanita kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu sudah diasuh tentang erti kepimpinan.
Bagaimanapun ujarnya, kehidupan yang semakin terhimpit memaksa keluarga berpindah semula ke kampung di Melaka demi mencari kehidupan lebih baik.
“Di bandar, kehidupan terlalu sukar untuk kami terus bertahan. Keluarga mahu saya berada dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.
Seawal usia kecil, wanita kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu sudah diasuh tentang erti kepimpinan.
Bukan hanya kerana kedudukan sebagai anak sulung, tetapi sebab beliau tahu, dua adik lelakinya sentiasa memandang dirinya untuk dijadikan contoh.
“Membesar dalam kesusahan menjadikan rasa tanggungjawab dan kepimpinan itu sudah sebati dalam diri.
"Bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi juga keluarga. Saya mahu mengubah nasib kami,” katanya, sambil jari diusap perlahan ke pipi, menyeka sisa air mata yang tidak mampu ditahan.
Tekad itu jugalah yang akhirnya membawa Afidah melangkah keluar dari kepompong kesempitan, menapak sedikit demi sedikit hingga kini berdiri di kerusi kepimpinan.
Afidah (tengah) bersama adik-adik dan kedua ibu bapanya.
Pemimpin
Berkongsi kembali perjalanan karier sejak lebih dua dekad lalu, ibu kepada lima anak itu tidak menyangka akan memegang antara tampuk kepimpinan tertinggi dalam organisasi.
Beliau mula menjejakkan kaki ke alam pekerjaan seawal usia 22 tahun, sebaik sahaja menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat di Universiti Malaya.
Belum sempat menghadiri konvokesyen, beliau sudah bergabung dengan Commercedotcom pada 2002, penyedia perkhidmatan e-dagang yang menyediakan penyelesaian perolehan elektronik berasaskan web, yang membangunkan sistem ePerolehan untuk kerajaan Malaysia.
“Saya bangga kerana berada dalam pasukan yang membina sistem penting negara tanpa menggunakan dana kerajaan.
"Sejak awal lagi, saya tahu kerjaya ini memberi makna kerana ia menyumbang secara langsung pada pembangunan negara,” ungkapnya.
Selepas 15 tahun bersama Commercedotcom, Afidah dipertanggungjawabkan menerajui anak syarikat kumpulan, Commerce Access Sdn Bhd (CASB).
Sejak itu, beliau diberi kepercayaan sebagai Naib Presiden, mengemudi hala tuju syarikat dalam bidang penyumberan luar proses perniagaan (BPO) dan penyelesaian teknologi.
CASB menerima pengiktirafan sebagai Best Outsourced Inbound Contact Centre Below 100 Seats daripada Contact Centre Association of Malaysia (CCAM) pada September lalu.
Di bawah kepimpinannya, CASB berkembang daripada syarikat kecil kepada organisasi dengan lebih 270 pekerja.
Menurut Afidah, tahun ini sahaja, syarikat itu berjaya mencatat keuntungan RM30 juta, sebahagian besarnya daripada pasaran luar.
“Alhamdulillah, kami bukan sahaja dapat membuka peluang pekerjaan, malah berkhidmat dengan syarikat utiliti dan penyedia perkhidmatan awam yang dekat dengan rakyat.
"Ia termasuk seperti perkhidmatan aplikasi penstriman kandungan, MyTV; Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Air Selangor,” jelasnya.
Inspirasi
Selain keluarga yang menjadi sumber kekuatan, beliau turut menganggap usahawan tersohor, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sebagai susuk inspirasi.
Membina empayar tanpa menonjolkan diri, itu antara sikap yang dikagumi Afidah.
“Saya sangat terinspirasi dengan amal jariah dan sumbangan beliau kepada masyarakat.
"Ia mengingatkan saya bahawa kejayaan sebenar bukan hanya tentang keuntungan, tetapi bagaimana kita memberi nilai semula kepada masyarakat,” tuturnya yang tidak pernah memperoleh gred B dalam setiap peperiksaan di sekolah.
Sesi 'townhall' bersama separuh daripada pasukan CASB pada Julai lalu.
Dalam dunia korporat yang sarat dengan angka, untung rugi dan strategi, jelas Afidah, kejayaan syarikat juga perlu diukur melalui senyuman mereka yang bergelar pekerja.
Bagi beliau, memberikan perkhidmatan terbaik bukan sahaja kepada rakyat sebagai pelanggan, tetapi juga warga kerja yang menjadi nadi utama organisasi.
Prinsip itu membuahkan hasil. Kadar keluar masuk pekerja di CASB hanyalah tiga peratus setahun, terendah dalam industri.
"Syarikat menyediakan pelbagai kemudahan demi kesejahteraan staf, dari elaun makan bulanan, kerusi urut, ruang tidur, hinggalah fasiliti santai seperti permainan PlayStation 5 (PS5) yang membolehkan mereka benar-benar rasa dihargai.
"Walaupun nampak kecil, setiap usaha itu memberi impak besar dalam membentuk suasana kerja yang seimbang antara tuntutan kerjaya dan keperluan insani,” tambahnya yang juga pencinta bahasa dan seni.
Pesannya kepada kaum wanita jelas. Jangan pernah gentar menjejakkan kaki ke bidang teknologi atau korporat.
“Wanita punya kekuatan yang tersendiri. Kita membawa sentuhan lembut, nilai kemanusiaan dan kebijaksanaan seimbang.
"Elemen ini mampu menjadikan sesuatu idea lebih mudah diterima dalam kehidupan mahupun kerjaya. Jadi, jangan takut untuk mencuba,” katanya mengakhiri bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram