
SETIAP pagi, ribuan wanita menaiki tren menuju ke destinasi masing-masing, sama ada ke tempat kerja, universiti atau sekadar menjalani rutin harian.
Bagi kebanyakan pengguna harian perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), koc wanita bukan sekadar kemudahan awam, ia adalah ruang istimewa yang melindungi, memahami dan meraikan kaum hawa dalam setiap sisi kehidupan mereka.
Seperti dikongsikan seorang pengguna Threads dengan nama akaun @syidaelani, yang mentafsirkan pemandangan di dalam koc itu sebagai cerminan kekuatan dan keindahan wanita dalam dunia sebenar.
BACA LAGI: [VIDEO] Abang Foodpanda tegas, ‘halau’ penumpang lelaki duduk koc wanita dalam MRT
BACA LAGI: Koc wanita macam tak wujud, ramai persoal perlu dikekalkan atau tidak?
“Suka betul tengok gelagat wanita dalam koc wanita. Tidur itu standard lah kan.
"Ada yang tengah mekap bersiap ke pejabat, ada yang dengan telefon pintar, ingat tengah dengar lagu rock tiba-tiba tadah tangan berdoa. Ada tengah baca kamus bahasa Korea,” tulisnya pada Rabu.
Menurutnya, suasana di dalam koc wanita itu seolah-olah sebuah pentas kecil yang menampilkan pelbagai sisi kehidupan wanita.
"Dari bersiap ke kerja, dalam perjalanan untuk mencari ilmu dan keberkatan, hingga yang mencari ketenangan jiwa,” tambahnya.
Hantaran tersebut mendapat sambutan ramai pengguna media sosial yang turut berkongsi pandangan dan pengalaman masing-masing tentang suasana dalam koc berkenaan.
Antaranya @madlin271 yang mengakui gemar memerhati individu terutamanya wanita dalam koc MRT atau LRT (Transit Aliran Ringan).
“Mereka memberi inspirasi kepada saya dengan cara tersendiri," tulisnya.
Keunikan gelagat wanita dalam koc itu menggambarkan suasana selamat yang membolehkan mereka menjadi diri sendiri.
Sementara itu, @iliaisylh pula menceritakan rutinnya bersiap setiap pagi di dalam tren.
Ujarnya, dalam MRT merupakan masa untuk menyapu krim pelindung matahari, memakai gincu dan membetulkan tudung sehingga adakalanya kerongsang pun boleh terpelanting.
“Dengan beg komputer riba dan beg bekal di tangan, siap kipas diri walaupun MRT sejuk, sebab nak keringkan krim pelindung matahari.
"Telefon pula di tangan, tengok perkembangan van sekolah anak-anak dan suami, semak barang dapur serta bincang menu makan malam.
"Semua itu saya buat sepanjang perjalanan dalam MRT sebab bila dah sampai pejabat, kadang-kadang terus lupa hal rumah," kongsi beliau.
Bagi @enolmarkonah pula, keunikan gelagat wanita dalam koc itu menggambarkan suasana selamat yang membolehkan mereka menjadi diri sendiri.
"Comel betul masing-masing. Semua perangai tersebut terserlah sebab itulah ruang selamat mereka.
"Mereka selesa jadi diri sendiri dan yakin dikelilingi persekitaran selamat," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram