[VIDEO] Abang Foodpanda tegas, ‘halau’ penumpang lelaki duduk koc wanita dalam MRT


  • Tular
  • Ahad, 01 Okt 2023

Tangkap layar video tular sejak Ahad memaparkan tindakan lelaki berkenaan yang meminta penumpang lelaki supaya beralih keluar dari koc wanita khas yang disediakan di dalam MRT.

SEPERTI yang diketahui, bermula pada September 2023, Kementerian Pengangkutan mula memperkenalkan koc khusus wanita bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Kajang.

Langkah berkenaan dilakukan untuk memberikan keselesaan kepada wanita yang menggunakan mod pengangkutan tersebut di samping turut memastikan keselamatan kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, sejak bermulanya pelaksanaan itu, masih ramai pengguna MRT khususnya lelaki dilihat tidak peka berkenaan dengan perkara tersebut.

Ini kerana terdapat segelintir pengguna lelaki didapati tidak sedar dan terus duduk di koc yang dikhaskan kepada penumpang wanita.

Susulan daripada itu, tular satu video di sosial media sejak Ahad memaparkan seorang individu bertindak menghalau sekumpulan lelaki dipercayai warga asing daripada duduk di tempat berkenaan.

Menerusi klip berkenaan, lelaki itu yang difahamkan bekerja sebagai penghantar makanan bersama syarikat Foodpanda tampil meminta sekumpulan penumpang lelaki untuk beralih daripada koc tersebut.

Pada masa sama, dia juga didapati memberikan penjelasan dalam bahasa Inggeris kepada kumpulan penumpang lelaki dipercayai warga asing yang kelihatan keliru dengan penjelasan diberikan.

Tindakan berkenaan ternyata mendapat pujian daripada rata-rata netizen dan termasuk daripada individu merakam kejadian tersebut yang menyifatkannya sebagai sangat berani.

"Foodpanda sangat prihatin, dihalaunya lelaki yang duduk di tempat gadis-gadis," ujar tulisan pada hantaran tersebut.

"Bende kecil, tapi besar maknanya, terbaik abang panda," kata manjoi8715.

Waktu dan tarikh sebenar kejadian berkenaan bagaimanapun tidak dinyatakan dalam video berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram