
“SAYA tidak pernah terfikir untuk berputus asa. Selagi mampu, saya akan menjaganya,”.
Itu luahan bapa tunggal, Tan Kian Song, 80, yang sejak empat dekad lalu tabah menjaga anak perempuannya, Tan Hui Qun, 40, yang berkeperluan khas.
Kian Song yang berasal dari Singapura mula menyedari keadaan anaknya ketika berusia sekitar satu hingga dua tahun selepas mendapati Hui Qun sukar berjalan.
BACA LAGI: Pernah berdepan situasi sama, wartawan sudah 'predict' nasib rakyat Malaysia ditahan tentera rejim
Walaupun mampu mendengar, anaknya tidak dapat membalas kata-kata, sebelum doktor mengesahkan wanita itu sebagai orang kurang upaya (OKU).
Mengenang kembali detik itu, Kian Song berkata, beliau menerima hakikat tersebut dengan reda.
“Saya tiada pilihan selain reda, ia sudah pun berlaku,” katanya.
Kini, selepas 40 tahun, di saat Kian Song semakin dimamah usia, anaknya pula bersikap memberontak.
Jika dahulu jarang merasa letih, kini beliau mengakui lebih mudah keletihan.
Namun untuk mengatasinya, Kian Song cuba berehat sebaik mungkin.
"Hui Qun akan berada di pusat komuniti pada waktu siang dan saya akan menjaganya pada sebelah malam.
“Saya akan berbaring di atas katil selepas mandi untuk berehat. Begitulah cara saya menenangkan diri,” maklumnya lagi.
Walaupun sering kepenatan, kasih sayang terhadap anak perempuannya tidak pernah luntur.
“Saya tidak patut meninggalkannya setelah membawanya ke dunia ini. Dia akan sengsara jika saya meninggalkannya,” ujarnya penuh sebak.
Walaupun tidak mampu bertutur, Hui Qun tetap menunjukkan kasih sayang dengan caranya tersendiri.
“Ada kalanya, apabila saya pulang ke rumah, dia akan buka kipas untuk saya.
"Kadangkala, dia bantu saya membuang sampah. Ini benar-benar menyentuh hati kerana dia ada rasa kasih sayang seorang anak terhadap saya,” katanya.
Kisah ketabahan Kian Song bukan sahaja mencerminkan pengorbanan seorang bapa, tetapi juga membuktikan bahawa kasih sayang seorang ibu atau bapa terhadap anak adalah tanpa syarat, biarpun teruji dengan usia dan cabaran hidup. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram