
SENAMAN Pilates mampu memainkan peranan penting dalam pemulihan pesakit kanser payudara.
Pengasas studio Pilates yang berpangkalan di Malaysia dan Singapura, Bhumi Lifestyle, Aeryn Chong berkata, Pilates merupakan senaman berimpak rendah yang menekankan hubungan tubuh dan minda.
Menurutnya, ia berupaya membantu pesakit mendapatkan semula kekuatan fizikal, kestabilan emosi dan kelancaran pergerakan selepas rawatan.
BACA LAGI: Kanser payudara wanita berkerjaya-suri rumah berisiko merebak lebih cepat tanpa sokongan suami
BACA LAGI: 3 studio pilates sekitar KL patut cuba, sesi cantikkan postur badan sambil 'healing'
Aeryn (kiri) dan Ashley mengasaskan studio Pilates dengan menggabungkan elemen kesejahteraan, kecergasan dan gaya hidup holistik.
“Dalam Pilates, kita dilatih dengan prinsip asas seperti teknik pernafasan dan pergerakan tubuh yang betul.
"Latihan ini memberi tumpuan pada pengaktifan otot teras untuk melindungi tubuh dan membantu pesakit bergerak dengan lebih tepat serta lancar,” katanya kepada Majoriti.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kempen kesihatan Pink October anjuran Pavilion Damansara Heights dengan kerjasama Bhumi Lifestyle, di Pavilion Damansara Heights, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Menurut Aeryn, ramai pesakit kanser payudara menghadapi tekanan emosi yang tinggi akibat beban kerja, peranan dalam keluarga dan persekitaran sekeliling.
Jelasnya, tekanan yang terkumpul itu akhirnya memberi kesan pada tubuh dan emosi.
“Melalui pergerakan dan teknik pernafasan dalam, Pilates membantu menenangkan fikiran, mengawal emosi dan mengurangkan ketegangan tubuh.
"Latihan ini bukan sahaja membantu secara fizikal, tetapi juga memberi ketenangan dari segi mental,” ujarnya.
Kempen kesihatan Pink October berlangsung di Pavilion Damansara Heights dari Jumaat hingga Sabtu.
Beliau yang juga jurulatih Pilates berkata, antara pergerakan penting dalam senaman itu ialah shoulder bridge, yang melibatkan pergerakan tangan ke atas, ke hadapan dan ke belakang.
Jelas Aeryn, pergerakan itu sangat penting dalam kehidupan harian, namun sering menjadi cabaran bagi pesakit yang menjalani pembedahan mastektomi, terutamanya jika otot pectoralis major atau nodus limfa telah dibuang.
“Mereka mungkin mengalami masalah lymphedema atau bengkak pada tangan yang menjejaskan kualiti hidup.
"Dengan latihan Pilates terperinci, pernafasan digabungkan bersama pergerakan tangan, bahu dan tulang rusuk bagi membantu pesakit bergerak lebih baik,” katanya.
Di Studio Bhumi, ujar Aeryn, latihan untuk pesakit kanser payudara biasanya dilakukan secara persendirian bagi memberi tumpuan penuh pada keperluan individu.
Kempen tersebut turut merangkumi sesi Pilates bersama para jurulatih.
Menurutnya, klien yang mengikuti program pemulihan secara konsisten menunjukkan peningkatan dari segi emosi, kekuatan otot serta keyakinan diri.
“Ramai yang keluar dari kelas dengan senyuman selepas merasa lebih lega dan gembira.
"Dalam jangka panjang, mereka bukan sahaja mendapat kembali kebebasan bergerak, malah berani mencuba aktiviti lain,” ujarnya.
Sementara itu, Pengasas Bhumi Lifestyle, Ashley Chong berkata, kempen Pink October yang berlangsung dari Jumaat hingga Sabtu lalu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara selain menyokong Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA).
Ujar Ashley yang juga adik kepada Aeryn, hari pertama dimulakan dengan sesi interaktif Pilates di Bhumi Studio melalui bengkel khas Pink Pilates Heart: Pilates for Breast Cancer Recovery yang dikendalikan jurulatih, Aeryn dan Bill Wong.
Lebih 30 penunggang Harley Davidson berpakaian merah jambu berkonvoi sebagai tanda solidariti.
Hari kedua pula memperluas inisiatif dengan ceramah kesihatan, bengkel dan aktiviti merangkumi kepimpinan berempati, kesedaran kendiri payudara, pemakanan untuk penyembuhan serta ketahanan dalam proses pemulihan.
"Inisiatif ini bukan sekadar mengenai kecergasan, ia tentang memperkasakan individu melalui pergerakan sambil menyokong usaha BCWA.
"Menerusi program Pink Pilates Heart, kami berharap dapat menginspirasi kekuatan, penyembuhan dan keyakinan dalam setiap perjalanan pemulihan," katanya.
Sebagai tanda solidariti, lebih 30 penunggang Harley Davidson berpakaian merah jambu berkonvoi dari Harley-Davidson Ampang ke pusat beli-belah berkenaan, dengan motosikal mereka dipamerkan sepanjang acara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram