Khatan bayi perempuan tiada manfaat sudut kesihatan, risiko jangkitan alat sulit?


  • Bonda
  • Isnin, 11 Ogos 2025

Amalan khatan bayi perempuan dikatakan tidak memberi sebarang kelebihan dari sudut kesihatan. — Gambar hiasan

ISU khatan bayi perempuan menjadi topik hangat dalam kalangan ibu bapa hari ini yang tampil berbeza pendapat antara aspek perubatan moden dan hukum agama.

Segelintir daripadanya menganggap ia sebahagian daripada tradisi diwarisi turun-temurun namun, dari sudut kesihatan amalan tersebut difahamkan tidak memberi sebarang kesan positif terhadap perkembangan si kecil.

Pakar Pediatrik dan Kesihatan Kanak-Kanak Dr. Nisa Khalil menjelaskan bahawa risiko dan kesan terhadap bayi sekiranya ia dipraktikkan sejak awal kelahiran.

BACA LAGI: Elak konflik keluarga di masa hadapan, suami disaran letak nama isteri sebagai penama KWSP

BACA LAGI: Imbau insiden budak jatuh depan mata, Nur Shahida pertikai tiada saksi kes kematian Zara Qairina

Dari sudut perubatan, tiada sebarang manfaat kesihatan yang dibuktikan hasil daripada amalan khatan bagi perempuan, malah berisiko menyebabkan:

- Risiko jangkitan pada kawasan alat sulit.

- Kesakitan jangka pendek dan sensitiviti berlebihan pada masa hadapan.

- Trauma fizikal dan emosi.

Menurut Dr. Nisa (gambar kecil) dari perspektif perubatan, tiada manfaat kesihatan untuk berkhatan wanita dan tingkat risiko jangkitan, kesakitan dan isu sensitiviti jangka panjang.

"Di Malaysia, sunat untuk kanak-kanak perempuan selalunya kecil secubit atau torehan kecil pada clitoral hood.

"Ia sering dilakukan di klinik atau oleh bidan, biasanya sebelum umur dua tahun, tetapi walaupun ia kelihatan tidak berbahaya, kita mesti bertanya adakah ia perlu? Adakah ia selamat?

"Dari perspektif perubatan, tiada manfaat kesihatan untuk berkhatan wanita dan ia boleh meningkatkan risiko jangkitan, kesakitan dan isu sensitiviti jangka panjang," ujarnya menerusi hantaran di Threads.

Tambahnya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam masa sama turut mengklasifikasikan khatan perempuan Female Genital Mutilation (FGM).

Hukum sudut agama

Menurut Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, amalan khatan bagi wanita telah lama wujud dalam sejarah masyarakat Arab dan diakui pada zaman Rasulullah SAW.

Dalam mazhab al-Syafie, hukum berkhatan bagi wanita adalah wajib menurut pendapat masyhur Imam al-Syafie, namun terdapat juga pandangan yang menyatakan ia sunat.

- Mazhab Syafie: Wajib (pendapat masyhur).

- Mazhab Ahmad bin Hanbal: Wajib.

- Mazhab Hanafi & Maliki: Sunat dan tidak wajib.

Perbuatan berkhatan bagi wanita sudah menjadi amalan kebiasaan sebahagian masyarakat termasuk masyarakat Arab sejak dahulu kala.

Pada zaman Rasulullah SAW, amalan ini berlaku dan Rasulullah SAW mengiktirafnya di samping meletakkan beberapa kaedah. ALLAH berfirman di dalam al-Quran:

ثُم أوحينا إِليك أنِ اتبِع مِلة إِبراهِيم حنِيفا ۖ وما كان مِن المُشرِكِين

Maksudnya: Kemudian kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.

Pun begitu, semua ulama sepakat bahawa jika dilakukan, prosedur tersebut tidak boleh memudaratkan atau mengubah bentuk asal organ dan mesti dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.

Walaupun sesetengah mazhab meletakkannya sebagai wajib atau sunat, garis panduan agama menegaskan bahawa ia tidak boleh memudaratkan.

Justeru, memahami isu khatan bayi perempuan memerlukan keseimbangan antara tuntutan agama, adat dan pandangan perubatan moden.

Walau apa pun keputusan diambil, keselamatan dan kesejahteraan anak perlu menjadi keutamaan dengan setiap langkah wajar dibuat secara berinformasi dan penuh pertimbangan demi masa depan anak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram