
SETIAP ibu hamil pasti tertanya-tanya adakah kedudukan bayi dalam rahim mempengaruhi cara bersalin.
Hakikatnya, posisi bayi menjelang kelahiran memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada proses bersalin akan berjalan lancar atau sebaliknya.
Ramai ibu hamil yang masih kurang cakna bahawa dalam rahim, bayi juga mempunyai cara baring tersendiri dan perubahan posisi itu berlaku sepanjang kehamilan.
BACA LAGI: Fisioterapi materniti bantu ibu hamil mudah bersalin, senaman ringkas seawal trimester kedua
Namun, sebaik usia kandungan semakin menghampiri minggu ke-37, kedudukan bayi akan mula kekal dan ia boleh menjadi penentu kepada tahap kesukaran proses kelahiran.
Kedudukan bayi penting
Pada trimester pertama dan kedua, bayi masih mempunyai banyak ruang untuk berpusing dalam rahim.
Namun, menjelang bulan terakhir, ruang semakin sempit dan pergerakan menjadi terhad dan detik itu memainkan peranan penting terhadap kesihatan bayi dan ibu usai kelahiran.
Posisi yang betul memudahkan kepala bayi turun ke bahagian pelvis dan melalui saluran peranakan dengan lebih lancar.
Sebaliknya, jika bayi berada dalam posisi yang tidak normal seperti melintang atau songsang, doktor mungkin mencadangkan kelahiran melalui pembedahan caesarean (C-section) bagi mengelakkan risiko komplikasi.
Kategori posisi dan kedudukan bayi dalam rahim. — Agensi
1. Occiput atau Cephalic Anterior (Kedudukan Terbaik)
Ini adalah posisi paling ideal untuk kelahiran normal dengan kepala bayi berada di bawah dan menghadap ke tulang belakang ibu.
Dalam kedudukan ini, bayi lebih mudah melalui saluran kelahiran tanpa tekanan berlebihan pada si ibu.
Kedudukan tersebut boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu Occiput Left Anterior (LOA) dan Occiput Right Anterior (ROA) dengan LOA dianggap paling baik kerana ia seiring dengan bentuk anatomi pelvis ibu.
2. Cephalic Posterior (Kedudukan kepala di bawah, menghadap depan)
Dalam posisi ini, bayi masih kepala ke bawah tetapi menghadap ke arah perut ibu.
Ia boleh menyebabkan ibu mengalami kesan sakit belakang semasa bersalin dan proses kelahiran menjadi lebih panjang.
Sesetengah bayi akan berpusing sendiri sebelum dilahirkan, namun jika tidak doktor mungkin mencadangkan posisi senaman tertentu atau penggunaan epidural untuk mengurangkan kesakitan.
3. Breech (Songsang)
Kedudukan songsang ialah apabila kepala bayi berada di atas dan punggung di bawah yang boleh dikategorikan kepada tiga jenis posisi:
- Complete breech: Bayi duduk dengan kaki dibengkokkan.
- Frank breech: Kaki lurus ke atas berhampiran dada.
- Footling breech: Satu atau dua kaki berada ke bawah menuju saluran kelahiran.
Risiko utama dalam kedudukan ini ialah kepala menjadi bahagian terakhir yang keluar dan doktor lazimnya akan cuba melakukan prosedur External Cephalic Version (ECV) untuk membantu bayi berpusing.
4. Transverse Lie (Melintang)
Transverse Lie (Melintang) ialah kedudukan di mana bayi berbaring melintang dalam rahim yang secara saintifiknya tidak sesuai untuk kelahiran normal.
Risiko tinggi tali pusat keluar terlebih dahulu dan dalam kes sebegini, kelahiran C-section adalah pilihan paling selamat.
5. Oblique Lie (Serong)
Kedudukan bayi sedikit menyerong dalam rahim dan menampakkan posisinya tidak sepenuhnya menegak atau melintang.
Biasanya bayi akan berpusing ke posisi normal menjelang minggu-minggu akhir, namun jika ia masih kekal doktor akan menilai sama ada kelahiran secara normal boleh dilakukan atau sebaliknya.
6. Fetal Lie (Sejajar dengan tulang belakang ibu)
Posisi ini menjelaskan bagaimana tulang belakang bayi sejajar dengan tulang belakang ibu.
- Longitudinal lie: bayi selari (normal)
- Transverse lie: bayi melintang
- Oblique lie: bayi serong
Kedudukan menegak atau longitudinal ialah yang paling ideal dan memberi peluang terbaik untuk kelahiran secara semula jadi.
Cara dapatkan posisi terbaik semasa kelahiran
Antara langkah mudah yang boleh dilakukan termasuklah:
- Duduk di atas bola senaman atau bola kelahiran.
- Berdiri dan berjalan secara berkala.
- Condongkan pelvis ke hadapan ketika duduk.
- Tidur mengiring ke kiri dengan bantal di antara kaki.
- Elak duduk bersilang kaki atau terlalu lama bersandar.
Senaman ringan ini bukan sahaja membantu bayi berada dalam kedudukan ideal, malah turut melancarkan perjalanan darah dan mengurangkan tekanan pada pinggang ibu.
Kedudukan bayi dalam rahim bukan sesuatu yang boleh dikawal sepenuhnya, namun dengan pemantauan berkala, penjagaan kesihatan yang baik dan panduan doktor, ibu boleh melakukan persediaan dari awal.
Maka, setiap posisi membawa cabarannya sendiri tetapi apa yang paling penting ialah keselamatan dan kesejahteraan ibu serta bayi di tahap yang terjamin. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram