
BERBEKALKAN minat dan sifat penyayang, graduan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) ini semakin dikenali sebagai sebagai pengasuh peribadi kanak-kanak.
Lebih mengujakan, anak ketiga daripada sembilan adik-beradik itu menerima tempahan dan pelanggan dari serata dunia yang jelas meletakkan kepercayaan kepadanya dalam menjaga si kecil tatkala ibu bapa sibuk bekerja.
Berkongsi lanjut tentang detik awal dirinya mula menceburkan diri dalam bidang tersebut, Farhah Sidek, 26, berkata, ia tercetus tanpa sengaja selepas bekerja secara sambilan di sebuah agensi penjagaan kanak-kanak selama setahun.
BACA LAGI: Qariah Farhatul timang anak sulung, hadiahkan zikir lena sempena Maulidurrasul
BACA LAGI: Sidang Kemuncak SCO Tianjin, Wan Azizah perkukuh hubungan bersama isteri pemimpin dunia
Sejak itu, dia mula mendapat pelanggan tetap dan segelintir daripadanya lebih gemar menghantar anak kepadanya berbanding pekerja-pekerja lain di syarikat berkenaan.
Hal tersebut kemudiannya mendorong gadis asal Kota Bharu, Kelantan itu untuk terus menceburkan diri dalam bidang berkenaan secara serius sebagai pengasuh peribadi.
"Saya mula sekadar suka-suka buat akaun khas Instagram dan selepas itu bermula dengan minat dan passion terhadap kanak-kanak, saya teruskan sebagai personal babysitter.
"Bila muat naik video di TikTok baru ramai prospek dan klien yang mesej nak hantar anak dan sebagainya, daripada situ makin berkembang dan sekarang dah masuk empat tahun saya dalam bidang ni.
"Mungkin sebab saya memang layan budak macam keluarga sendiri dan pengalaman besarkan enam adik, jadi kan saya dah terbiasa dengan kerenah budak," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, graduan Sarjana Muda Pengurusan Industri Halal tersebut nyata cukup teruja apabila berpeluang untuk merantau ke negara-negara eropah berbekalkan kerjaya dimiliki.
Setakat ini, ibu bapa dari German, United Kingdom dan Singapura merupakan antara yang pernah mendapatkan khidmatnya dan masih berhubungan baik seperti sebuah keluarga.
"Saya sendiri memang suka tengok video parenting ibu bapa di negara barat, jadi bila dapat klien dari sana memang sangat gembira dan berpeluang tambah pengalaman tentang cara didikan ibu bapa di negara asing.
"Saya belajar macam mana didikan mereka kepada anak dari segi tutur kata, disiplin dan sebenarnya ia lebih mudah berbanding klien di Malaysia.
"Di sana mereka kebanyakannya merantau dan melancong jadi dah tahu cara untuk kawal anak punya perangai dan tantrum, agak berbeza dengan parenting kita yang sesetengah daripadanya bergantung kepada maid," tambahnya.
Sifat mesra dan peramah dimiliki Farhah menjadikan dirinya pilihan ibu bapa untuk menjaga anak-anak.
Berpandangan jauh dalam karier dan kerjaya diceburi ketika ini, Farhah mensasarkan untuk menumpukan kepada klien dari luar negara sahaja di masa akan datang.
Malah, dia turut memasang impian untuk memiliki sebuah tadika dan pusat asuhan kanak-kanak sendiri berdasarkan konsep serta rekaan yang sudah lama diilhamkan.
Mahu terus bergiat aktif dalam kerjaya sebagai pengasuh peribadi kanak-kanak, Farhah difahamkan bakal terbang jauh ke Qatar, Paris dan Austria tidak lama lagi selepas baru menerima tempahan klien dari negara terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram