Sabah hadiahkan rumah percuma buat pasangan baru kahwin, tambahan 10 unit kediaman setiap DUN


  • Cinta
  • Isnin, 06 Okt 2025

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (tengah) bersama jemputan lain melakukan gimik pecah tanah Projek Perumahan dan Lot Komersil Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Kampung Taka, Pitas di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas pada Sabtu.

MEMILIKI rumah sendiri sering menjadi cabaran besar buat pasangan muda, terutama yang baru memulakan kehidupan selepas berkahwin. 

Menyedari situasi itu, Kerajaan Negeri Sabah tampil dengan inisiatif baharu bagi membantu golongan belia memiliki kediaman pertama mereka usai mendirikan rumah tangga.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan tambahan 10 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan.

BACA LAGI: Ibu cekal niaga pasar borong, anak capai impian jejak kaki ke universiti Oxford

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami hanya Muay Thai', ibu Jojo Ghazali terharu ramai prihatin, sokong anak-anak wakili negara

"Tambahan sebanyak 10 unit ini adalah untuk anak muda yang susah dan baru berkahwin kerana kita faham ramai yang masih menumpang di rumah keluarga.

"Dulu hanya ada empat atau lima rumah PPRT, tapi kini kita sudah naikkan kepada 40 buah Rumah Mesra SMJ dan tahun depan kita akan tambah lagi menjadi 50 unit di setiap DUN," katanya menerusi kenyataan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (tengah) bersalam dengan masyarakat Pitas yang menghadiri Majlis Pecah Tanah Projek Perumahan dan Lot Komersil Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Kampung Taka, Pitas di perkarangan Dewan Masyarakat Daerah Pitas pada Sabtu.

Dalam masa sama, Hajiji turut menyatakan keyakinan bahawa Projek Perumahan dan Kedai LPPB Kampung Taka akan memberi impak besar kepada masyarakat setempat yang bukan hanya menyediakan tempat tinggal, tetapi juga peluang pekerjaan serta ruang ekonomi baharu kepada penduduk.

"Projek ini bakal melibatkan pembinaan sebanyak 320 unit rumah termasuk rumah berkembar dan teres setingkat serta 171 unit kedai terdiri daripada pejabat dua tingkat, superstore, show room dan kiosk," katanya.

Projek itu dibangunkan atas tanah seluas 37.6 ekar milik LPPB, hasil kerjasama kerajaan dan pihak swasta bagi memastikan pelaksanaannya lebih cepat dan berkesan.

"Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan beban kewangan kerajaan, tetapi membolehkan sumber negeri difokuskan kepada pembangunan sosioekonomi dan infrastruktur lain demi kesejahteraan rakyat," jelasnya.

Inisiatif tambahan rumah percuma untuk pasangan muda itu secara tidak langsung menunjukkan komitmen kerajaan Sabah dalam membantu golongan belia membina kehidupan yang lebih stabil dan selesa.

Langkah diambil bukan sahaja menyediakan tempat berteduh, tetapi juga menjadi simbol keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan setiap rakyat termasuk yang baru berumah tangga dapat menikmati kesejahteraan dan kemajuan bersama di bawah agenda Sabah Maju Jaya (SMJ). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram