Ibu cekal niaga pasar borong, anak capai impian jejak kaki ke Universiti Oxford


  • Bonda
  • Isnin, 06 Okt 2025

Azida sentiasa menghargai pengorbanan dan penat lelah ibunya dalam memastikan dia diberikan ilmu hingga ke menara gading.

SETIAP kejayaan ditempa individu lahirnya daripada pengorbanan insan yang tidak terlihat iaitu seorang ibu.

Bagi Azida Ahmad Azmi, kejayaan melangkah ke Universiti Oxford bukan sekadar pencapaian peribadi tetapi juga lambang kasih dan pengorbanan ibu yang membesarkannya dengan penuh tekad dan kasih.

Mengimbau kembali pahit getir dan kesusahan ibunya dalam memastikan anaknya diberikan kelengkapan makan dan pakai secukupnya, situasi itu kekal terpahat dalam ingatannya hingga ke hari ini.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Kami hanya Muay Thai', ibu Jojo Ghazali terharu ramai prihatin, sokong anak-anak wakili negara

BACA LAGI: Elak stress, mudah bersalin, ibu 2 anak aktif berjoging ketika hamil sambil tolak 'stroller' bayi

"Apabila saya besar, ibu saya akan sentiasa mengambil alih sisa makanan saya walaupun makanan yang terasa pelik, dia tetap makan.

"Bajuku yang usang menjadi pakaiannya, produk penjagaan kulit yang sudah lama luput tarikh pun dia guna juga.

"Pada waktu malam, dia bekerja di Pasar Borong Selayang dari pukul 10 malam hingga 7 pagi dan siang hari, dia berniaga nasi campur dan nasi ayam di warung tepi jalan supaya dia mampu membelikan saya buku," kongsinya menerusi laman Instagram.

 

 

Tambahnya, buku pertama yang dibelikan ibunya ialah sebuah kamus Oxford yang menjadi bukti hasil titik peluhnya bekerja siang dan malam.

Jelas Azida, kejayaan dirinya hari ini terbentuk daripada ketabahan dan kecekalan ibunya yang tidak pernah menjejak kaki ke universiti, namun mengerti makna sebenar pendidikan.

"Saya banyak bercakap tentang ibu saya dan mungkin sekarang, sesetengah daripada anda tahu lebih banyak tentang dia daripada saya.

"Itu adil, kerana kebanyakan daripada saya hari ini dibentuk oleh wanita yang sama yang pernah ditertawakan kerana menyebut ABC cara yang salah, tapi ajar saya untuk membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya mampu melakukannya," ujarnya.

Kini, hasil kerja keras dan tekad itu membuahkan hasil apabila dia terpilih menerima biasiswa Chevening, sekali gus membuka jalan untuk menyambung pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Antropologi Sosial di Universiti Oxford, United Kingdom.

"Saya amat bersyukur atas biasiswa Chevening dan bersemangat untuk meneruskan perjalanan ini.

"Saya ingin memahami bagaimana sistem sosial dan pendidikan terus menghasilkan ketidaksamaan dan bagaimana orang seperti ibu saya mengekalkan maruah serta harapan walaupun dunia tidak selalu adil.

"Untuk semua wanita yang tak pernah pegang pen atau belajar membaca saya akan pastikan pintu ini kekal terbuka," katanya.

Perkongsiannya membuktikan bahawa kejayaan tidak hanya diukur dengan sijil atau universiti ternama, tetapi ia lebih tertumpu pada sejauh mana seseorang itu menghargai insan yang berkorban di belakangnya.

Dari sebuah pasar borong, lahir seorang wanita yang kini menjejak kaki ke institusi ilmu tertua di dunia sekali gus menjadi saksi bahawa kasih ibu dan usaha tanpa putus mampu menulis takdir baharu dalam hidup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram