Elak tak 'perasan' anak sedang lemas di kolam, pantai, pilih pakaian renang warna neon banding rona gelap


  • Bonda
  • Ahad, 05 Okt 2025

Ibu bapa disarankan memilih baju renang bayi mengikut piwaian keselamatan di tahap optimum. — Gambar hiasan/Janaan AI

SETIAP kali musim cuti sekolah atau hujung minggu, aktiviti air seperti berenang, berkelah di pantai mahupun bermain di taman tema air sering kali menjadi pilihan keluarga.

Namun, di sebalik keseronokan itu, risiko keselamatan tidak boleh dipandang ringan kerana insiden lemas kekal sebagai antara punca utama kematian kanak-kanak di seluruh dunia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, kanak-kanak bawah umur lima tahun adalah kumpulan paling berisiko tinggi terpalit dalam tragedi itu.

BACA LAGI: Elak stress, mudah bersalin, ibu 2 anak aktif berjoging ketika hamil sambil tolak 'stroller' bayi

BACA LAGI: Penyayang dan akrab bagai keluarga sendiri, 'babysitter' asal Kota Bharu jadi pilihan ibu bapa mat saleh Eropah

Faktor kecil seperti pemilihan warna pakaian renang dilaporkan mampu memberi perbezaan besar dalam meningkatkan keselamatan mereka ketika melakukan aktiviti tersebut.

Kajian oleh syarikat keselamatan akuatik, ALIVE Solutions Inc. menunjukkan warna pakaian renang memainkan peranan penting terhadap tahap keselamatan.

Ujian yang dijalankan di sebuah kolam renang dan perairan terbuka mendapati warna neon seperti kuning terang, hijau dan oren jauh lebih mudah dikesan berbanding warna gelap atau pastel yang hampir hilang dari pandangan di bawah air.

Lakaran jenis dan pilihan warna sesuai untuk baju renang kanak-kanak. — Agensi

"Kami dapati, pakaian berwarna neon lebih jelas dilihat walaupun dari jarak jauh sebaliknya, warna kusam dan bercorak membuatkan seseorang kanak-kanak hampir tidak kelihatan di dalam air," kata Pengasas bersama ALIVE Solutions, Natalie Livingston.

Pandangan itu turut disokong Breanna Smith Powderly, bekas ketua penyelamat di taman tema air terkenal Hershey Park di Amerika Syarikat (AS), yang menegaskan bahawa pakaian berwarna terang memudahkan pengawasan, terutama ketika lokasi sesak dengan ramai pengunjung.

Malah, ramai ibu bapa khususnya generasi kini mula selektif dalam membeli pakaian renang anak-anak.

“Saya tidak lagi membeli berdasarkan pilihan yang cantik, sebaliknya warna paling selamat untuk anak-anak saya lebih utama," kata Andrea Ament, ibu kepada tiga cahaya mata di California, AS.

Pakar keselamatan bagaimanapun mengingatkan bahawa pakaian hanyalah salah satu faktor pencegahan.

Pengawasan rapat oleh ibu bapa dan pematuhan garis panduan keselamatan akuatik tetap menjadi kunci utama mampu mengurangkan risiko tragedi lemas.

WHO dalam masa sama turut melaporkan bahawa lebih 236,000 nyawa terkorban akibat lemas setiap tahun di seluruh dunia, menjadikan isu itu sebahagian daripada cabaran kesihatan global yang memerlukan kesedaran berterusan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram