
DALAM dunia pendidikan hari ini, kejayaan akademik sering dijadikan kayu pengukur terhadap kualiti dan sahsiah seseorang pelajar sekolah.
Namun, ramai yang kurang cakna bahawa asas sebenar pembentukan insan bermula daripada adab dan akhlak yang diyakini menjadi tunjang sebenar di sebalik pencapaian dalam bidang pendidikan.
Hal itu dikongsikan seorang guru wanita, Yana Azmann ketika berpeluang menjalani latihan praktikum di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), salah sebuah sekolah berprestij yang terkenal dengan keunggulan akademik serta sahsia diri di Klang, Selangor.
BACA LAGI: Sabah hadiahkan rumah percuma buat pasangan baru kahwin, tambahan 10 unit kediaman setiap DUN
Menurutnya, pengalaman mengajar di sekolah tersebut menjadi antara momen paling indah dalam perjalanan hidupnya sebagai pendidik.
"Honestly, I think this is the best experience I've ever had here, masa praktikum dulu, saya ditempatkan di sekolah agama, pelajar di sini sangat menekankan 'adab dulu baru ilmu', which is good," kongsinya di laman Threads.
Katanya, rutin hariannya di sekolah itu membawa ketenangan luar biasa apabila telinga disajikan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan alunan selawat yang tidak pernah berhenti berkumandang di segenap ruang sekolah.
"Hari-hari telinga memang dengar ayat Quran dan selawat non-stop, kadang-kadang saya pun belajar dari mereka.
"Ilmu agama diorang lagi banyak dari kita, terima kasih ALLAH bagi peluang saya mengajar sekolah ni,” katanya.
"Still holding on to a little hope that one day, a small miracle will bring me back here," tambahnya.
Pengalaman berharga itu menurutnya bukan sekadar mengajar tentang tanggungjawab seorang guru, tetapi juga menyedarkannya bahawa tugas seorang pendidik bukan hanya mengisi minda pelajar dengan ilmu, tetapi juga membentuk jiwa mereka agar beradab dan berakhlak.
Yana dalam masa sama turut berkongsi pesanan yang sering disampaikan kepada pelajarnya supaya sentiasa mencari persekitaran dan rakan-rakan yang baik, kerana dari situlah terbentuknya peribadi seseorang.
"Selalu saya pesan pada mana-mana student belajar rajin-rajin, masuk sekolah yang baik, cari circle kawan yang baik supaya kita sentiasa dikelilingi orang yang baik," katanya.
Pendekatan sedemikian secara tidak langsung membantu melahirkan generasi modal insan terbaik untuk keluarga, masyarakat dan negara.
Apabila adab dan ilmu seiring, pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga memiliki jiwa yang luhur, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap diri serta masyarakat.
Kesemua nilai itu diyakini mampu menjadi tunjang sebenar dalam melahirkan generasi berilmu yang bukan sekadar bijak di atas kertas, tetapi turut membawa perubahan positif terhadap akhlak serta pendirian generasi akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram